Jose Enrique menyifatkan bekas rakan sepasukannya, Jordan Henderson sebagai seorang pemain luar biasa meskipun kerap berdepan kritikan pemerhati bola sepak di awal karier profesionalnya.

Enrique menyifatkan kritikan terhadap Henderson sebelum ini adalah tidak adil dan dia menyuarakan pandangannya berlandaskan pengalaman lima musim beraksi bersama kapten Liverpool itu.

Kedua-dua Enrique dan Henderson menyertai Liverpool pada musim 2011/12, justeru pemain kelahiran Valencia itu melihat dengan dekat peningkatan pemain tengah itu sejak hari pertama mereka berlatih bersama di Melwood.

“Saya percaya selepas Jordan menjulang Liga Juara-Juara Eropah (UCL) musim lalu, tiada lagi keraguan terhadap kemampuannya.

“Memang harapan tinggi diletakkan kepada Jordan kerana dia dibeli dengan harga 20 juta pound dan terus dilabel sebagai pengganti Steven Gerrard.

“Jordan dan Gerrard adalah dua pemain yang berbeza meskipun beraksi sebagai pemain tengah, Gerrard seorang legenda namun Jordan mempunyai keistimewaan sendiri.

“Dia tidak pernah memperdulikan kritikan terhadapnya dan dia sentiasa bekerja keras di latihan serta pemain paling akhir meninggalkan padang latihan.

“Jordan adalah contoh terbaik buat semua orang dan dia membuktikan dengan kerja keras kita mampu mencapai apa saja dalam bola sepak,” kata Enrique dalam siaran terkini Man On The Street yang akan keudara pada 18 Jun ini di saluran Astro Supersport CH813 jam 9 malam.

MOTS adalah rancangan terbitan Astro Supersport yang memberi peluang buat peminat bertemu dengan pemain kegemaran mereka dan berbincang perbagai topik.

2 sleeps, AND after you've recovered from back to back @premierleague matches (AVLSHU & MCIARS) #motsy

A post shared by Stadium Astro (@stadium.astro) on



Ketika di Liverpool, Enrique sempat dilatih tiga pengurus - Kenny Dalglish, Brendan Rodgers serta Jurgen Klopp.

Bagi Enrique, setiap daripada mereka mempunyai keistimewaan tersendiri dan dia masih mengekalkan hubungan baik dengan ketiga-tiga bekas pengurusnya itu.

“Kenny adalah King Kenny, dia legenda kelab dan dia juga individu yang memberi peluang buat saya bersama Liverpool dan saya sentiasa mengenang budinya kepada saya.

“Rodgers pula seorang pengurus yang sentiasa mempunyai kaedah latihan tersendiri, ia bukan mudah tetapi ia memberi kesan positif buat pasukan.

“Klopp pula adalah pengurus yang mengubah Liverpool kini, lihat saja perubahan yang dilakukannya dan saya percaya dia antara pengurus terbaik dunia sekarang.

“Saya cuma kesal, Klopp tidak tiba di Liverpool ketika saya berada di prestasi terbaik kerana saya kerap dihimpit masalah kecederaan [selepas ketibaannya],” kata Enrique.

Enrique turut berkongsi pengalaman beraksi bersama bintang Barcelona, Luis Suarez ketika di Liverpool yang disifatkannya sebagai pemain di kelas tersendiri.



“Luis adalah seorang pemain yang mampu mengubah senario perlawanaan, pasukan mungkin bermain hambar tetapi apabila bola sampai ke kakinya dia mampu menjaringkan gol atau melakukan sesuatu.

“Dia juga seorang pemain yang jarang mengalami kecederaan serta seorang yang mempunyai semangat tinggi buat pasukan yang diwakilinya.

“Pernah satu ketika dia pulang ke Uruguay untuk tugasan antarabangsa, dia kembali ke Liverpool sehari sebelum perlawanan dan tetap menjalani latihan serta meraih hatrik pada hari perlawanan.

“Ketika itu saya berasa pelik dan berkata padanya, 'Bagaimana anda mengharungi penerbangan jauh tetapi tetap mampu beraksi cemerlang?'

“Jika orang lain pasti keletihan dan sukar menjelmakan aksi terbaik tetapi tidak buat Luis.

“Luis seorang pemain luar biasa, dia dan Gerrard ada dua pemain terbaik yang pernah saya beraksi bersama,” kata Enrique.