Jurgen Klopp mengesahkan bahawa kapten, Jordan Henderson, dan pemain pertahanan, Alberto Moreno, tidak akan beraksi untuk perlawanan Liverpool menentang Leicester City dan Burnley.

Skuad The Reds menumpaskan Swansea City 5-0 di laman sendiri awal pagi tadi hasil gol daripada Philippe Coutinho, Trent Alexander-Arnold, Alex Oxlade-Chamberlain dan dua jaringan Roberto Firmino.

Klopp dalam sidang media berkata Henderson dan Moreno yang masing-masing mengalami masalah hamstring dan pergelangan kaki tidak akan segera pulih.

"Tempoh masa? Sebenarnya, saya tidak tahu ​-- tetapi bukan esok," katanya.

"Kedua-duanya akan terlepas untuk dua perlawanan berikutnya pada Sabtu dan Isnin ini. Mereka tidak mempunyai peluang," katanya.

Kemenangan ke atas Swansea menyaksikan Liverpool naik ke tangga keempat mengatasi Tottenham, membuatkan Klopp teruja dengan prestasi pemainnya selepas babak pertama yang mencabar.

"Ia agak sengit," katanya.

"Kami terpaksa mempertahankan situasi dengan lebih baik. Kami terpaksa lebih agresif. Kami melakukannya dengan lebih baik pada separuh masa kedua.

"Ia bukan permainan yang mudah, ia adalah kerja keras. Saya sangat gembira dengan perkara yang kami pelajari daripada perlawnaan ini.

"Ini keputusan yang sempurna bagi kami, tiga mata yang sangat penting, lima gol, tidak bolos -- semuanya baik."