Liverpool menerima khabar gembira menjelang aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) yang akan kembali pada hujung minggu ini selepas Jordan Henderson dan Adam Lallana mengambil bahagian dalam latihan penuh, semalam.

Ketua pasukan The Reds, Henderson, ditimpa kecederaan paha ketika mereka menewaskan West Ham 4-1 sebelum rehat antarabangsa, lalu terpaksa diketepikan untuk aksi persahabatan England menentang Jerman dan Brazil.

Pemain tengah, Lallana, turut tersisih sejak Ogos lalu kerana masalah paha dan sejak itu hanya menjalani program individu.

Bagaimanapun, kedua-dua pemain itu muncul dalam sesi latihan pasukan utama menjelang pertemuan dengan Southampton, sekaligus memberi lebih banyak pilihan pemain kepada Jurgen Klopp.

Sementara itu, Klopp sendiri terpaksa ke hospital akibat masalah kesihatan dan sehubungan itu, Liverpool menyatakan pengurus itu mungkin memerlukan pemeriksaan lanjut.