Jurgen Klopp berkata kapten Liverpool, Jordan Henderson, boleh beraksi dalam pertemuan dengan Wolverhampton Wanderers awal pagi esok.

Pemain tengah England, Henderson, mengalami kecederaan ketika Liverpool menang di Leicester City sehari selepas Krismas tetapi Klopp menyifatkan kecederaan itu sekadar berasa sakit apabila dia mengesahkan The Reds tidak berdepan sebarang masalah kecergasan untuk melayan kunjungan anak buah Nuno Espirito Santo itu.

Pendahulu Liga Perdana Inggeris itu menampilkan kekuatan penuh di Stadium King Power, menggandingkan Henderson, Georginio Wijnaldum dan Naby Keita di bahagian tengah dan pengurus The Reds, Klopp, berkata skuad sama akan dipertaruhkan menentang Wolves.

Bercakap mengenai pemulihan pemain, Klopp berkata: "Pemain yang beraksi sebelum ini tampak boleh meneruskan aksi.

"Satu-satunya masalah adalah kami berlatih selepas tengah hari, jadi saya perlu tunggu semua maklumat, itu proses ketika ini. Namun, mereka tampak dalam keadaan baik."

Henderson beraksi dalam 14 daripada 18 perlawanan liga musim ini di samping menghasilkan satu gol ketika menewaskan Tottenham Hotspur 2-1, Oktober lalu.

James Milner dan Adam Lallana dijangka diturunkan sekiranya Klopp bercadang merehatkan ketua pasukan itu tetapi apabila ditanya sama ada Henderson cergas untuk beraksi, dia menjawab: "Ya, ia hanya rasa sakit."


Editor: Nafis Abdullah