Bintang Chelsea, Eden Hazard, telah membuat keputusan dan akan memberitahu kelab mengenai perancangan masa depannya di penghujung musim ini.

Pemain Belgium itu dikaitkan dengan perpindahan ke Real Madrid dan tidak melanjutkan kontraknya di Stamford Bridge yang bakal tamat pertengahan 2020.

The Blues dilaporkan meletakkan tanda harga EUR130 juta (RM607 juta) untuk penggempur itu yang masuk selaku pemain gantian ketika seri 0-0 dengan Leicester City semalam, di mana ia mungkin aksi terakhir Hazard dalam Liga Perdana Inggeris.

Hazard kemudian memberitahu barisan wartawan bahawa dia telah memaklumkan hasratnya kepada Chelsea beberapa minggu lalu dan masih menunggu maklum balas.

"Saya telah membuat keputusan tetapi ia bukan sekadar saya," katanya.

"Kami berdepan final Liga Europa dan lihat nanti.

"Saya mahu ia diselesaikan tetapi itu tidak berlaku. Saya masih menunggu seperti anda serta semua peminat."

Chelsea menamatkan saingan liga di tangga ketiga untuk mengesahkan slot ke Liga Juara-Juara Eropah musim depan dan masih berpeluang meraih trofi musim ini jika menundukkan Arsenal dalam final Liga Europa tetapi Hazard berkata kembali ke saingan elit mungkin tidak cukup untuk mengekalkannya bersama kelab itu.

"Tidak, saya tidak fikir begitu. Saya telah buat keputusan."

Hazard memberi isyarat bagus kepada peminat selepas wisel penamat sambil sesetengah daripada mereka mempamerkan kain rentang menuntut agar dia komited bersama kelab.

Pemain berusia 28 tahun itu memenangi Anugerah Perancang Liga Perdana selepas melakukan 15 bantuan gol musim ini dan menegaskan spekulasi yang melandanya tidak pernah memberi masalah kepadanya.

"Saya tidak pernah terganggu," tambah Hazard.

"Apabila anda berada di atas padang, anda perlu cuba fokus bersama bola. Itu sahaja.

"Saya hanya cuba melakukan yang terbaik apabila beraksi dan tidak memikirkan perkara lain, sama ada situasi saya atau situasi kelab. Saya hanya mahu meraih kemenangan."