BOURNEMOUTH 0 CHELSEA 1

Eden Hazard berkata dia seronok bermain menentang Bournemouth selepas meneruskan rekod baiknya ketika Chelsea menewaskan skuad itu 1-0 dalam Liga Perdana Inggeris di Dean Court, awal pagi tadi.


Pemain antarabangsa Belgium itu menggunakan kaki kirinya untuk mengecewakan Asmir Begovic pada separuh masa kedua dan kini mengumpul lima gol dalam empat penampilan menentang pasukan Eddie Howe itu dalam Liga Perdana.

Chelsea selesa walaupun meraih kemenangan tipis, dengan Bournemouth hanya berjaya membuat satu percubaan tepat ketika penyandang juara itu kembali merapatkan jurang sembilan mata di belakang Manchester City.

Skuad The Blues memiliki satu gol yang tidak disahkan hasil percubaan Alvaro Morata, yang juga mempunyai dua peluang lain pada separuh masa pertama, sebelum Hazard mencipta kemenangan selepas rehat.

"Saya suka bermain menentang Bournemouth!," kata Hazard kepada BT Sport.

"Saya cuba bermain seperti ini dalam setiap perlawanan, saya gembira. Saya menjaringkan gol, kami menang.

"Hanya satu masalah ialah kami perlu menjaringkan lebih banyak gol. Kami sepatutnya mendapat tiga gol, mungkin empat gol untuk membuatkan perlawanan lebih mudah tetapi kami tidak banyak peluang dan saya fikir kami layak mendapat kemenangan ini.

"Ia satu gol yang sangat baik, penting juga. Apabila anda bermain dalam perlawanan seperti ini, anda hanya perlu menang. Kami mempunyai tiga mata dan kami mara.

"Semua pemain layak meraih kemenangan ini, kami melakukan pertahanan dengan baik. Saya juga berpendapat Thibaut Courtois memerlukannya untuk keyakinan," tambahnya.

Ditanya sama ada City mungkin meraih gelaran Liga Perdana, Hazard berkata: "Musim ini panjang, anda tidak tahu apa yang boleh berlaku.

"Mereka di atas dan bermain dengan banyak gol -- tetapi kami mempunyai banyak perlawanan untuk bermain, kita akan lihat pada akhir musim."

Minggu depan sangat sukar buat Chelsea yang berada di Roma untuk Liga Juara-Juara sebelum menentang Manchester United dalam Liga Perdana di Stamford Bridge.