Hazard: Manchester City tetap pasukan terbaik EPL

Oleh Staff Writer 10 Disember 2018 314
Hazard: Manchester City tetap pasukan terbaik EPL
Eden Hazard berasakan Manchester City masih merupakan pasukan terbaik Liga Perdana Inggeris (EPL) biarpun Chelsea memberikan kekalahan pertama mereka musim ini.

Gol daripada N'Golo Kante dan David Luiz menyaksikan The Blues menang 2-0 ke atas City di Stamford Bridge, semalam, serta memastikan Liverpool kekal menduduki tangga teratas selepas kemenangan 4-0 mereka di Bournemouth.

Chelsea tewas dua daripada tiga perlawanan liga terakhir mereka selepas rekod kebal anak buah Maurizio Sarri itu berkecai, namun mereka bangkit ketika menentang City.

Hazard, bagaimanapun, percaya City kekal sebagai pilihan utama dengan Chelsea kini ketinggalan lapan mata dengan pendahulu, Liverpool, yang mempunyai kelebihan satu mata ke atas skuad kendalian Pep Guardiola itu.

"Ia perasaan yang sangat baik, khususnya berikutan kekalahan kami kepada Wolves pada pertengahan minggu lalu," Hazard memberitahu laman sesawang Chelsea.

"Ia satu perlawanan yang sukar, terutama dalam babak pertama, tetapi dalam babak kedua kami mengawal permainan dan kami menjaringkan dua gol. Pada akhirnya, saya fikir kami berhak menang dan kami perlu meneruskan rentak ini. 

"Apabila anda kalah, selalunya anda perlu membuktikan sesuatu kerana kami adalah Chelsea. Apabila kami kalah -- demi peminat, ahli lembaga pengarah dan semua orang -- kami perlu kembali menang.

"Sudah tentu, ia adalah perasaan yang lebih baik memandangkan kami berdepan pasukan terbaik di negara ini dan kami menang. Kami boleh menikmati kemenangan ini," katanya.

Hazard menonjol selaku penyerang utama selepas Sarri merombak pasukannya, dengan Olivier Giroud dinamakan di bangku simpanan sementara nama Alvaro Morata langsung tidak tersenarai. 

Pemain Belgium tersebut mencipta gerakan buat kedua-dua gol Chelsea itu untuk menokok bilangan bantuan golnya dalam saingan EPL musim ini kepada lapan, lebih daripada mana-mana pemain. 

"Saya sukakan peranan tersebut kerana saya turut beraksi di posisi yang sama tahun lalu, jadi saya tahu apa yang perlu dilakukan tetapi perasaannya agak pelik kerana saya tidak banyak menyentuh bola," tambah Hazard.

"Anda hanya perlu memberi tumpuan kepada apa yang perlu anda lakukan dan saya cuba melaksanakannya dengan cara terbaik. Kami menang dan itulah yang penting.

"Kami hanya mahu memenangi perlawanan dan ia sudah tercapai.

"Kami boleh menikmati kemenangan ini tetapi kami perlu fokus kepada perlawanan menentang Vidi dalam Liga Europa pada pertengahan minggu ini dan aksi di Brighton, hujung minggu nanti."












 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen