Eden Hazard mendedahkan dia mahu sekali lagi bekerjasama dengan pengendali Manchester United, Jose Mourinho.

Hazard beraksi di bawah kendalian pengurus Portugis itu ketika bersama Chelsea pada 2013 hingga 2015, dengan bertindak sebagai individu yang membantu The Blues muncul juara Liga Perdana Inggeris (EPL) pada musim 2014-15.

Mourinho, bagaimanapun, mengalami permulaan mengecewakan pada musim berikutnya -- tewas sembilan daripada 16 perlawanan pertama liga -- sebelum dipecat pada Disember.

Hazard bakal berdepan bekas pengendalinya itu ketika United berkunjung ke Stamford Bridge, Sabtu ini, walaupun mengakui ia adalah keputusan yang tepat buat Mourinho meninggalkan Chelsea tiga tahun lalu.

Namun, Hazard mengekalkan pendirian untuk bekerjasama sekali lagi dengan 'The Special One'.

"Musim terakhir di bawah kendalian Mourinho amat mengecewakan," katanya.

"Kami tidak meraih kemenangan -- sesi latihan tidak lagi memberikan keterujaan kepada pasukan.

"Jika ditanya jurulatih mana yang saya mahu bekerjasama sekali lagi, saya akan memilih Mourinho," ujarnya.

Hazard menolak pertanyaan mengenai pemain-pemain yang tidak lagi sehaluan dengan Mourinho di Chelsea tetapi menegaskan ketika pasukannya meraih kemenangan, tiada jurulatih yang melakukan lebih baik berbandingnya.

"Jika keputusan mengecewakan, beliau mula mengkritik pemain-pemain tetapi saya boleh menerima kata-kata itu kerana ia adalah sifat yang dimiliki Mourinho.

"Jika meraih kemenangan, Mourinho adalah jurulatih yang terbaik. Beliau banyak memberikan waktu rehat.

"Walaupun Mourinho dilihat sebagai pakar taktikal yang lebih gemar bertahan, beliau tidak seperti Pep Guardiola yang mengutamakan serangan. Tetapi pada tahun kami muncul juara, Chelsea menjaringkan banyak gol."