WATFORD 1 CHELSEA 2

Eden Hazard dahagakan lebih banyak jaringan untuk mendapatkan status legenda bersama Chelsea selepas menjaringkan golnya yang ke-100 untuk kelab itu ketika mengatasi Watford 2-1 dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL), awal pagi tadi.


Penyerang Belgium itu menjaringkan kedua-dua gol Chelsea di Vicarage Road untuk merakamkan 101 gol untuk The Blues.

Hazard enggan berahsia mengenai keinginannya untuk bermain bersama Real Madrid tetapi bintang berusia 27 tahun itu mahu menamatkan kariernya di Stamford Bridge dengan status legenda.

"Jaringan ini sangat bermakna, terutama sekali ia membantu pasukan meraih kemenangan. 101 gol bersama kelab ini adalah sesuatu yang tidak boleh dilupakan.

"Saya mahu menjaringkan lebih banyak gol untuk kelab ini dan mahu berdiri seiring dengan Frank Lampard, John Terry dan Didier Drogba."

Kemenangan buat skuad kendalian Maurizio Sarri itu menyaksikan mereka menghuni tangga keempat liga, dua mata di atas Arsenal yang seri 1-1 dengan Brighton and Hove Albion.

Hazard berpuas hati dengan semangat yang dipamerkan selepas tewas kepada Leicester City dalam aksi terdahulu.

"Kami mempamerkan persembahan terbaik berdepan Manchester City selepas tewas kepada Wolves. Hari ini, selepas tunduk kepada Leicester, kami melakukan perkara yang sama.

"Chelsea bermain dengan baik dan memastikan kemenangan diperoleh," katanya lagi.