Hazard hampir kembali, tetap terlepas aksi berdepan Derby

Oleh Penulis Jemputan 31 Oktober 2018 255
Hazard hampir kembali, tetap terlepas aksi berdepan Derby
Pemain Chelsea, Eden Hazard, terpaksa diketepikan menjelang aksi Piala EFL berdepan Derby County awal pagi esok tetapi dijangka kembali ketika menentang Crystal Palace, Ahad ini.

Pemain antarabangsa Belgium itu tidak beraksi dalam perlawanan Liga Europa sewaktu The Blues menundukkan BATE dan saingan Liga Perdana Inggeris berdepan Burnley akibat kecederaan belakang.

Pembantu jurulatih Chelsea, Gianfranco Zola, menjangkakan pemain berusia 27 tahun itu akan kembali menjalani latihan penuh minggu ini, sekali gus menjadikannya salah satu pilihan untuk bertandang ke The Eagles.

"Dia jelas lebih baik. Tidak pasti untuk semalam, mungkin hari ini dia akan kembali menyertai sesi latihan," kata Zola yang turut memberitahu Pedro dan Olivier Giroud akan turut terlepas aksi pagi esok.

"Saya tidak fikir dia akan terlibat dalam perlawanan pagi esok kerana dia tampak bagus untuk aksi hujung minggu. Kami teruja kerana Hazard adalah pemain penting buat kami.

"Pedro mengalami sakit perut. Dia keluar Ahad lalu tetapi kini semakin baik walaupun masih ada masalah kecil. Kami akan membantunya.

"Giroud juga berdepan masalah kecergasan dengan salah satu kakinya. Kami akan melihat keadaannya nanti.

"Ethan Ampadu telah kembali menyertai latihan. Kami akan membuat keputusan sama ada dia akan menjadi sebahagian daripada pasukan."

Pertemuan dengan Derby menyaksikan penjaring gol terbanyak sepanjang zaman Chelsea, Frank Lampard, kembali ke Stamford Bridge selaku pasukan lawan.

Zola tidak meragui bahawa Lampard bakal bergelar pengurus berjaya, lebih-lebih lagi setelah Derby menyingkirkan Manchester United dalam pusingan seterusnya dan kini menduduki tangga keenam Liga Kejuaraan.

"Dia adalah legenda kelab. Dia banyak menyumbang untuk Chelsea. Kami mengucapkan moga terus berjaya sebagai jurulatih," tambah Zola.

"Kemampuannya menjalankan tugas dengan baik tidak mengejutkan dan dia akan meneruskannya dalam peranan baru untuk bola sepak. Dia sentiasa menunjukkan disiplin yang baik untuk perlawanan."

Pemain Chelsea yang dipinjamkan, Mason Mount dan Fikayo Tomori, berkemungkinan besar beraksi buat Derby di Stamford Bridge dan Zola tidak sabar untuk melihat prestasi mereka.

"Saya memantau mereka apabila hadir ke sini. Saya melakukan analisis untuk pemain yang dipinjamkan. Mereka merupakan pemain awal yang saya kaji.

"Perancangannya adalah untuk mengekalkan mereka bagi aksi pra-musim tetapi peluang untuk beraksi di pentas kompetitif seperti Liga Kejuaraan tiba dan kelab membuat keputusan bahawa ia bagus untuk mereka.

"Saya sukakan mereka kerana memiliki kepantasan berfikir untuk bertindak. Anda boleh lihat daripada corak permainan.

"Secara fizikal, ia perlu dipertingkatkan kerana Liga Perdana Inggeris adalah satu tahap yang berbeza tetapi mereka menunjukkan perkembangan bagus dan saya teruja dengannya."

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen