Hazard belum putus asa harapan juarai liga

Oleh Staff Writer 17 Disember 2018 221
Hazard belum putus asa harapan juarai liga
Bintang Chelsea, Eden Hazard, berpendapat pasukannya tidak akan berputus asa dalam usaha mengejar kejuaraan liga musim ini.

Hazard menyinar dalam aksi semalam, menyumbat satu gol dan membuka ruang untuk satu lagi jaringan tatkala skuad kendalian Maurizio Sarri itu menewaskan Brighton and Hove Albion 2-1.

Kemenangan itu membolehkan Chelsea hanya dibezakan dua mata dengan pasukan tangga ketiga, Tottenham Hotspur, walaupun jurang mata masih besar di antara The Blues dan Liverpool serta Manchester City.

Bagaimanapun, Hazard dengan nada bersemangat menegaskan Chelsea percaya mereka mampu mengejar seteru utama walaupun jika Sarri terus menolak harapan untuk menjuarai liga.

"Sudah tentu kami mahu berada di puncak liga apabila tamat musim," katanya.

"Saya tahu City dan Liverpool adalah pasukan yang baik tetapi kami tetap mengejar mereka. Kami juga tidak mahu jurang mata menjadi lebih besar.

"Kami mahu memenangi trofi liga dan menjadi pasukan terbaik England."

Dalam aksi semalam, Chelsea tampak bakal meraih kemenangan selesa sebelum Solly March menyumbat gol pada minit ke-66 tatkala Hazard berpendapat The Blues seharusnya mengesahkan kemenangan lebih awal.

"Sudah tentu apa yang kami lalui tampak sukar untuk mencatat kemenangan," tambah Hazard.

"Aksi itu merupakan antara perlawanan paling penting musim ini, terutama dalam aksi berdepan City.

"Dalam babak pertama, kami tahu kami mahu menyumbat gol ketiga kerana jika mendahului 3-0, sukar untuk lawan bangkit.

"Namun, kami tidak melakukannya dan tekanan akhirnya muncul dalam lima atau 10 minit terakhir. Bagaimanapun, kami dapat mengawal perlawanan dan layak menang," katanya lagi.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen