CHELSEA 5 EVERTON 0

Antonio Conte melabel Eden Hazard sebagai "pemain yang serba lengkap" selepas pemain kebangsaan Belgium itu membantu Chelsea merakamkan kemenangan 5-0 ke atas Everton di Stamford Bridge, semalam.


Hazard meneruskan prestasi cemerlangnya dengan meledak dua gol manakala Marcos Alonso, Diego Costa dan Pedro masing-masing menjaringkan satu gol untuk meletakkan Chelsea di persada Liga Perdana.

Hazard kini telah menjaringkan gol dalam empat perlawanan berturut-turut dan Conte berkata Hazard telah berjaya mengembalikan rentak permainannya.

"Hazard telah memberikan yang terbaik di atas padang," kata Conte kepada BT Sport.

"Kami menyedari dia seorang pemain yang berbakat. Hazard seorang pemain yang bekerja keras untuk pasukan.

"Dia adalah pemain yang sempurna jika dia dapat mengulangi prestasinya ketika berdepan Everton."

Chelsea kini telah memenangi lima perlawanan dan menjaringkan 16 gol serta tidak dibolosi sebarang jaringan sejak menewaskan Hull City 2-0 pada awal Oktober.

Conte sangat berpuas hati dengan peningkatkan barisan pertahanan Chelsea tetapi pengendali dari Itali itu kecewa kerana momentum mereka akan terbantut menjelang aksi perlawanan antarabangsa.

"Saya amat gembira kerana berjaya memenangi perlawanan, kami bermain dengan penuh keyakinan. Setiap pemain telah bermain dengan cara yang betul.

"Pemain-pemain saya telah mempamerkan aksi yang menakjubkan, saya sangat berpuas hati tetapi kami perlu terus bekerja keras."