Havertz sertai Chelsea dengan perpindahan termahal

Oleh Muzaffar Musa 5 September 2020 3105
Havertz sertai Chelsea dengan perpindahan termahal
Chelsea melengkapkan proses menandatangani Kai Havertz daripada Bayer Leverkusen dengan satu kesepakatan dikhabarkan bernilai £72 juta (RM397 juta) -- rekod pembelian termahal kelab itu.

Havertz, 21, meninggalkan kem latihan skuad Jerman semalam untuk melengkapkan perpindahan itu dengan menandatangan kontrak selama lima tahun bersama Chelsea, sekali gus menamatkan spekulasi mengenai masa depannya.

Dia merupakan kemasukan berprofil tinggi terbaru di Stamford Bridge bagi mengharungi musim 2020-21 selepas kedatangan Hakim Ziyech, Timo Werner, Ben Chilwell dan Thiago Silva, yang menyaksikan kelab itu telah membelanjakan keseluruhan £200m (RM1.1 bilion).

"Saya amat gembira dan berbangga untuk berada di sini.  Bagi saya, ia bagai impian menjadi kenyataan untuk bermain di kelab besar seperti Chelsea dan tidak sabar untuk berjumpa semua pemain dan jurulatih," katanya dalam laman web rasmi Chelsea.

"Benar, saya amat gembira untuk berada di sini," katanya.
 
Havertz menembusi pasukan utama Leverkusen pada usia 17 tahun dalam musim 2016-17 dan segera menjadi muka tetap dalam kesebelasan utama pasukan itu dengan melakukan 37 penampilan sepanjang dua musim Bundesliga.

Pemain tengah menyerang itu benar-benar menyerlah dalam musim 2018-19 dengan menjaringkan 17 gol dalam saingan Bundesliga -- rekod tertinggi bagi seorang pemain remaja dalam liga divisyen utama Jerman itu.

Dia kemudian meledakkan 12 gol lagi dalam musim 2019-20 selain melakukan enam bantuan jaringan.

Barcelona, Liverpool, Real Madrid dan Bayern Munich turut dikaitkan sebagai pasukan yang berminat untuk mendapatkannya sebelum Havertz mengambil keputusan menyertai Chelsea.

Tentang Penulis

Muzaffar Musa

Komen