BURNLEY 0 TOTTENHAM 3

Mauricio Pochettino mengagumi prestasi hatrik luar biasa Harry Kane dalam kemenangan 3-0 Tottenham Hotspur ke atas Burnley awal pagi tadi, sekaligus mengundang kejutan kepada pengurusnya.


Penggempur England itu membuka jaringan selepas hanya tujuh minit aksi di Turf Moor apabila menyempurnakan sepakan penalti selepas Delle Alli dijatuhkan.

Kane kemudian memastikan kemenangan pada separuh masa kedua dengan gol pada minit ke-69 dan 79, sekaligus menyamai rekod 36 gol setahun dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) milik Alan Shearer.

Pochettino gembira dengan penyerang itu sambil berharap taruhan utamanya itu dapat meledak lebih banyak gol lagi.

"Pertama sekali, saya perlu mengucapkan tahniah kepada Harry," kata Pochettino kepada BT Sport. "Ia menyamai rekod Alan Shearer.

"Dia luar biasa, pemain hebat, dia memerlukan satu gol lagi untuk mengatasi rekod Alan -- kami akan dapat melihatnya dalam permainan seterusnya.

"Tetapi ia pencapaian yang hebat buatnya, dia boleh menjaringkan lebih daripada tiga gol hari ini berdasarkan peluang yang ada.

"Saya agak kecewa kerana kami tidak menjaringkan lebih banyak gol -- terdapat peluang terbuka untuk Son (Heung-min), (Moussa) Sissoko, saya kasihan dengan mereka, tetapi mereka perlu teruskan prestasi ini dalam perlawanan seterusnya agar mereka dapat menjaringkan gol, tidak ada masalah.

"Sukar untuk mencari kata-kata untuk menggambarkan Harry Kane. Malah, semasa saya di Spurs, saya terkejut dengannya.

"Hatrik yang dilakarnya adalah sesuatu yang bagus buatnya, namun kami sepatutnya boleh menjaringkan lebih daripada tiga, saya bimbang apabila anda tidak merebut peluang."

Pengurus Claret, Sean Dyche, memilih untuk memberi tumpuan kepada Alli kerana berasakan pemain itu patut dibuang padang sebelum dia memenangi penalti itu.

"Pemain boleh dibuang padang dengan terjahan seperti itu," kata Dyche. "Dia di luar kawalan dan anda menjangkakan kad merah untuk itu.

"Untuk penalti pula, dia rebah sebaik menerima sentuhan, ia hanyalah sentuhan kecil. Keputusan itu juga sukar untuk diterima."