Jimmy Floyd Hasselbaink telah dipecat oleh Queen’s Park Rangers, dengan kelab itu terperosok di tangga ke-17 dalam Liga Kejuaraan.

Pengurus dari Belanda itu menggantikan Chris Ramsey pada Disember 2015 dan hanya menang 14 daripada 47 perlawanan di bawah tanggungjawabnya di Loftus Road.

Hasselbaink terpaksa menanggung padah terhadap kehambaran QPR dalam beberapa minggu kebelakangan, dengan kelab itu hanya menang dua kali dalam 11 perlawanan terakhir.

Keputusan seri 1-1 di Nottingham Forest pada Sabtu adalah pemutus ikatan, dengan QPR mengumumkan keputusannya menerusi satu siaran berita.

Bulan lalu, QPR mempertahankan Hasselbaink apabila dia terkait dengan siasatan Daily Telegraph terhadap rasuah dalam bola sepak Inggeris selepas dirakamkan sebuah kamera tersembunyi oleh wartawan menyamar yang berpura-pura merundingkan yuran GBP55,000 untuk berkhidmat sebagai duta sukan bagi sebuah syarikat Timur Jauh yang tidak wujud yang mahu menjual pemain-pemain kepada kelabnya.