Tottenham menandatangani bekas penjaga gawang Manchester City, Joe Hart, dengan kontrak selama dua tahun.

Pemain berusia 33 tahun itu merupakan ejen bebas selepas perjanjiannya dengan pesaing Liga Perdana Inggeris (EPL), Burnley, berakhir.

"Kami berbesar hati mengumumkan Joe Hart telah menandatangi kontrak hingga 2022," kata Spurs semalam.

Hart kehilangan tempatnya di Burnley kepada Nick Pope dan tidak beraksi sepanjang kempen liga musim 2019-20.

Mei lalu, dia, yang pernah mewakili Torino dalam Serie A, mengakui mungkin perlu berkelana ke luar negera bagi mengintai peluang beraksi.




Namun, dia memilih Spurs tetapi perlu bersaing merebut tempat dengan ketua pasukan, Hugo Lloris, termasuk Paulo Gazzaniga sebagai pilihan utama Jose Mourinho.

Hart mengharungi karier selama 12 tahun bersama The Citizens dengan memenangi dua gelaran EPL sebelum berhijrah ke West Ham dan Torino apabila kehilangan tempatnya sejak pelantikan Pep Guardiola pada 2016.

Dia pernah beraksi 75 kali buat England tetapi tidak lagi terpilih untuk mewakili negaranya sejak 2017.

Ketibaan Hart itu menyusul selepas pemain tengah, Pierre-Emile Hojbjerg, melengkapkan perpindahannya ke Tottenham daripada Southampton minggu lalu.