Hari ngeri buat Southampton 

Oleh Penulis Jemputan 14 Disember 2017 419
 Hari ngeri buat Southampton 
SOUTHAMPTON 1 LEICESTER 4

Jurulatih, Mauricio Pellegrino, menganggap keputusan tewas 4-1  kepada Leicester City dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) awal pagi tadi sebagai "hari yang mengerikan" untuk Southampton.


Terdapat tanda-tanda peningkatan di Stadium St. Mary's susulan seri 1-1 dengan Arsenal pada Ahad lalu, namun rentak itu gagal dikekalkan sehingga mereka ketinggalan 3-0 pada babak pertama kepada pasukan yang dikendalikan bekas pengurus, Claude Puel.

Pellegrino hampa dengan kekalahan itu dan meminta Saints untuk bangkit menjelang kunjungan ke Chelsea, hujung minggu ini.

"Permainan yang sangat buruk dari awal hingga akhir," katanya. "Selepas menjaringkan gol pertama, mereka semakin baik dan sedikit demi sedikit keyakinan kami menurun, kami memberi bola sepanjang masa.

"Bagi saya, ia adalah mengenai tumpuan, pemain tidak 100 peratus memberi tumpuan dan pada tahap ini, anda tidak boleh berada di atas padang dengan memberikan kelebihan ini kepada lawan. Ia adalah hari yang mengerikan dan itulah realitinya. 

"Dalam EPL, terdapat sekumpulan pasukan yang jurang perbezaannya adalah empat atau lima mata dan kami mesti bertarung. Sudah tentu, kami mempunyai perasaan yang sama seperti penyokong.

"Tiga hari lalu, kami bermain dengan baik tetapi dalam bola sepak, dalam tempoh tiga hari semuanya boleh berubah, kami perlu bertindak sekarang."

Hasilnya meninggalkan Southampton di tangga ke-11, empat mata di atas zon penyingkiran.
 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen