Jose Mourinho mendedahkan bahawa Manchester United akan membawa masuk seorang sahaja pemain sebaik jendela perpindahan Januari dibuka dengan spekulasi mengaitkan pertahanan Benfica, Victor Linedelof, semakin hangat dibincangkan.

Timbul laporan bahawa pemain Benfica itu akan menjadi pertahanan paling mahal dalam sejarah United dengan yuran perpindahan dijangka mencecah GBP42 juta (RM232 juta).

Mourinho tidak memetik nama pemain berusia 22 tahun itu, namun berkata kebanyakan nama yang disebut datangnya dari Portugal ekoran dirinya berasal dari sana.

Rakan sepasukan Linedelof, Nicolas Semedo, turut dikaitkan dengan perpindahan ke Old Trafford namun Mourinho menegaskan mereka akan membawa masuk seorang pemain sahaja.

"Saya lebih memberi kepercayaan ketika jendela perpindahan musim panas berbanding musim sejuk," Mourinho memberitahu Sky Sports.

"Tempoh perpindahan dibuka lebih lama, sekaligus kami punyai masa untuk menilai pemain sebelum membuat keputusan.

"Tetapi kita lihat apa yang akan berlaku. Jika kami membeli pemain, kami tidak akan membeli dua, tiga atau empat pemain.

"Timbul pelbagai khabar angin dengan beberapa nama pemain yang beraksi di Portugal mengisi muka depan akhbar di England. Setiap pemain di Portugal bakal berhijrah ke Old Trafford.

"Ia perkara biasa kerana saya berasal dari Portugal. Sebelum ini, ramai pemain dari sana dikaitkan dengan perpindahan ke Chelsea dan Real Madrid."

Pada masa sama, Mourinho turut menekankan bahawa dia tidak bercadang untuk menjual sesiapa pada Januari.

"Saya menyukai apa yang saya miliki ketika ini.

"Jika kami membuat keputusan untuk melepaskan sesiapa, itu adalah atas kemahuan pemain itu sendiri."