Hanya Messi, Ronaldo boleh ganti Hazard -- David Luiz

Oleh Staff Writer 31 Mei 2019 3691
Hanya Messi, Ronaldo boleh ganti Hazard -- David Luiz
Hanya Lionel Messi atau Cristiano Ronaldo boleh menggantikan Eden Hazard jika dia meninggalkan Chelsea, kata David Luiz.

Hazard memainkan peranan utama ketika Chelsea membelasah Arsenal 4-1 untuk menjulang kejuaraan Liga Europa, awal pagi semalam dengan pemain kebangsaan Belgium itu turut menjaringkan dua gol.

Sejurus selepas perlawanan, dia mengesahkan aksi itu mungkin menjadi yang terakhir buatnya memandangkan perpindahannya ke Real Madrid sudah hampir pasti.

Kelab gergasi Sepanyol itu sudah lama dikaitkan dengan Hazard, yang kontraknya dengan Chelsea akan tamat tahun depan.

Kelab Liga Perdana itu dilaporkan akan meletakkan tanda harga £100 juta (RM467.49 juta) buat Hazard.

Walaupun Luiz berasakan amat sukar untuk mencari pengganti kepada rakannya itu, dia masih meletakkan harapan yang tinggi terhadap Callum Hudson-Odoi.

Ditanya siapa pengganti sesuai buat Hazard, Luiz berkata kepada wartawan: "Ia sama ada Messi atau Ronaldo.

"Saya rasa jika dia pergi, saya akan hanya mengucapkan selamat maju jaya kepadanya.

"Dia seorang pemain, rakan dan individu yang hebat.

"Saya mengenalinya sejak dia masih muda di sini.

"Saya amat gembira buatnya kerana dunia kini mengenali siapa Eden Hazard.

"Ia sebahagian daripada hidup. Kitaran lama tamat, kitaran baru akan bermula.

"Saya berasakan kami memiliki ramai bakat muda yang boleh menggantikannya.

"Callum amat hebat. Dia mengenali kelab ini sejak dia masih kecil dan dia memilki bakat untuk menjadi seperti Eden satu hari nanti.

"Ia tidak bermula baik kerena kecederaan yang dialaminya (kecederaan tendon Achilles bulan lalu), namun ia masanya untuk dia berkembang ke satu tahap yang baru," katanya lagi.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen