Hangat dikaitkan ke Arsenal, Guardiola akui mungkin kehilangan Arteta

Oleh Staff Writer 26 November 2019 1684
Hangat dikaitkan ke Arsenal, Guardiola akui mungkin kehilangan Arteta
Pep Guardiola mengakui dia tidak pasti sama ada Mikel Arteta akan kekal sebagai pembantunya dalam tempoh yang lebih lama di tengah-tengah laporan wujudnya minat daripada Arsenal.

Bekas pemain tengah The Gunners itu menjadi sebahagian daripada kakitangan kepada Guardiola pada 2016 dan menarik perhatian ramai sebagai penolong jurulatih Manchester City susulan dominasi kelab berkenaan dalam kancah domestik.

Arteta, yang menghabiskan tempoh selama lima musim di Arsenal sejak tiba daripada Everton pada 2011, dikaitkan akan mengambil alih jawatan itu daripada Arsene Wenger pada 2018, sebaliknya Unai Emery dilantik.

Walaupun mara ke perlawanan akhir Liga Europa musim lalu, bekas jurulatih Paris Saint-Germain (PSG) itu gagal menyerlah, dengan laporan mengaitkannya di ambang pemecatan berikutan permulaan buruk dalam kempen musim ini. 

Arteta sekali lagi dianggap sebagai calon utama untuk menggalas tugasan tersebut apabila Emery meninggalkan peranannya.

Lantaran itu, sambil menekankan hasratnya untuk mengekalkan kelibat Arteta di City, Guardiola mengakui mungkin sukar untuk meneruskan kerjasama bersama rakan senegaranya itu sehingga musim ini berakhir. 

"Emery merupakan pengurus Arsenal," kata Guardiola dalam sidang akhbar ketika ditanya mengenai laporan yang mengaitkan Arteta akan kembali ke utara London.

"Sudah tentu lambat laun (Mikel) akan muncul sebagai pengurus.

"Jika saya berada di kedudukannya, sebagai seorang penolong jurulatih yang masih muda, saya juga mahu menjadi pengurus. Tetapi buat masa ini, kami mahu menamatkan musim ini. ini Pada masa akan datang, saya tidak pasti apa yang akan berlaku.

"Kalau boleh, saya mahukan (Mikel) agar kekal bersama kami seberapa lama yang mungkin. Manchester City mempunyai nilai masa depan yang luar biasa buat seseorang itu yang pernah bekerja di kelab ini tetapi kehidupan peribadi adalah kehidupan peribadi, kemahuan profesional adalah satu bentuk profesional buat setiap orang.

"Semua orang, bukan saya sahaja, akan lebih berpuas hati untuk memilikinya di sini tetapi apa yang akan berlaku pada akhir musim ini, saya tidak tahu."

Guardiola juga melabel Arteta sememangnya berhasrat menjadi pengurus sejak awal mereka bekerjasama lagi dan percaya peranan di bahagian tengah yang pernah dimainkan oleh kedua-duanya memberikan mereka pelantar yang ideal dalam karier kejurulatihan. 

"Dia seorang pemain yang luar biasa, kebiasaannya seorang pemain tengah mempunyai visi di segenap penjuru padang," kata Guardiola.

"Pemain tengah bertahan merupakan satu pengalaman yang luar biasa sebagai pemain untuk menghidu apa yang sedang berlaku. Malah, dia tidak perlu menyertai kursus kejurulatihan, ini kerana dia begitu pintar dalam soal itu.

"Selain itu, dia adalah seorang manusia yang luar biasa, etika kerja, berusaha keras. Selepas beberapa bulan kami bekerjasama, saya pernah berkata bahawa dia bakal menjadi pengurus, cepat atau lambat sahaja. Dia sudah bersedia untuk menggalas jawatan pengurus, dia sudah pun bekerja seperti pengurus.

"Sebab itulah kami berpuas hati untuk memilikinya di sini."

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen