Pengurus Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer, masih berhubung dengan Erling Haaland sambil berkata "ayuh lihat apa yang akan tiba" ketika ditanya mengenai masa depan penyerang muda itu.

Bintang Norway berkenaan menjadi sasaran The Red Devils sebelum dia menyertai Borussia Dortmund daripada Salzburg pada Januari 2020.

Haaland mempamerkan perkembangan luar biasa di Jerman dengan pemain berusia 20 tahun itu telah menjaringkan 27 gol dalam kesemua kejohanan -- hanya Robert Lewandowski memegang rekod lebih baik dalam kalangan pemain Bundesliga.

Pelbagai kelab termasuk United, Manchester City, Real Madrid, Barcelona dan Bayern Munich, terus dikaitkan untuk menandatangani pemain itu, yang menjaringkan dua gol ke atas Sevilla untuk menjadi pemain pertama dalam sejarah Liga Juara-Juara Eropah (UCL) merekodkan 17 gol dalam 13 penampilan pertama minggu lalu.

Solskjaer masih berhubung dengan pemain remaja itu, yang tiba daripada sistem pembangunan Molde, dan berbangga dengan perkembangannya.

"Saya fikir apabila anda mempunyai pemain muda yang menyerlah, sebagai jurulatih, anda akan mengikuti perkembangannya dan saya masih berhubung dengan Erling.

"Amat baik untuk melihat dia menjadi pemain seperti hari ini dan saya tahu dia akan terus meningkat.

"Dia pemain Dortmund dan saya mendoakan yang berbaik buatnya di sana. Ayuh lihat apa yang akan tiba selepas ini," katanya.

Ditanya sejauh mana minatnya terhadap Haaland musim lalu dan seberapa baik pengambilan pemain baru United di bawah Solskjaer, dia menambah: "Anda tahu saya tidak boleh bercakap mengenai Erling kerana dia pemain Borussia Dortmund dan amat tidak elok untuk saya banyak bercakap mengenainya. Selainnya, saya mengenalinya dan ada bercakap dengannya.

"Siapa sahaja yang tidak berminat dengannya setahun lalu? Semua orang mahukan pemain terbaik dunia dan dia pemain di tahap tertinggi.

"Daripada segi pengambilan pemain, kami melakukannya dengan baik. Pengambilan pemain baru sejak saya tiba di kelab ini telah memberikan sumbangan dan menjadi tambahan buat skuad kami dan itulah yang kami perlu lakukan: kami mempunyai kelebihan pemain dengan peranan berbeza. Saya gembira dengan pemain yang didatangkan kami dan proses yang kami lalui," katanya lagi.