Pemain tengah Manchester City, Ilkay Gundogan, bersikap terbuka untuk menyerahkan gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL) kepada Liverpool berikutan penularan wabak koronavirus baru (Covid-19).

The Reds menguasai puncak liga dengan kelebihan 25 mata tetapi ketidakpastian di penghujung musim 2019-20 akibat pandemik itu, kancah berkenaan seakan-akan sukar disempurnakan.

City meraih dua gelaran berturut-turut sebelum ini tetapi Gundogan -- yang pernah memenangi kejuaraan Bundesliga di bawah bimbingan pengurus Liverpool, Jurgen Klopp, di Borussia Dortmund -- tidak mempunyai masalah untuk melepaskan mahkota tersebut kepada seteru mereka itu musim ini.

Menurutnya kepada stesen penyiaran Jerman, ZDF: "Saya tidak mempunyai masalah. Kami perlu ada semangat kesukanan."




Ditanya sama ada menghabiskan kempen musim ini di stadium mungkin menjadi pilihan, Gundogan menjawab: "Secara jujur, saya tidak dapat membayangkannya dan saya tidak tahu bagaimana ia adalah realistik."

Banyak kelab kecil di England menghadapi kesulitan di tengah-tengah Covid-19.

Justeru, Gundogan juga bersetuju untuk mendermakan gaji bagi membantu mereka yang dihimpit masalah akibat krisis ketika ini dengan berkata: "Sudah tentu saya berasa ia satu tindakan yang bagus. Bukan mudah kelab divisyen bawahan untuk mengendalikannya."



Pemain berusia 29 tahun, yang menyertai City pada Jun 2016, mengalami kehidupan yang sukar tatkala United Kingdom menghadkan pergerakan masyarakat.

"Kadang-kadang saya berasa khuatir untuk berjalan di luar selama 10 hingga 15 minit walaupun cuaca agak aneh kerana ironinya ia sangat indah di Manchester," katanya lagi.