Pemain tengah Manchester City, Ilkay Gundogan, mengakui episod kecederaan yang menghantuinya sejak beberapa tahun lalu telah memberikan impak kepada dirinya daripada segi mental dan fizikal.

Gundogan hanya berjaya melakukan sembilan penampilan bersama City dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim lalu sebelum mengalami kecederaan lutut pada Disember.

Pemain berusia 26 tahun itu turut terpaksa menanggung keperitan akibat kecederaan, terlepas peluang untuk beraksi di pentas Piala Dunia 2014 dan Kejohanan Eropah 2016 ketika masih bersama kelab Bundesliga, Borussia Dortmund.

“Amat berat untuk menerimanya,” kata Gundogan.

“Sesuatu yang sukar apabila anda sering jatuh dan terpaksa bangkit untuk kembali ke prestasi asal. Segala perkara buruk kini di belakang saya dan saya mahu memiliki perasaan benar-benar bersedia untuk beraksi,” tambahnya.

City kini menjadi pencabar utama EPL selepas berbelanja besar mendapatkan Bernardo Silva, Kyle Walker, Ederson Morais serta Benjamin Mendy dan Gundogan yakin City mampu menjadi pencabar utama sambil menyifatkan pasukan tangga kedua musim lalu, Tottenham Hotspur, antara pasukan yang paling perlu diawasi.

“”Kami mengharungi pengalaman yang baru dalam EPL pada musim lalu tetapi sedar bahawa Spurs adalah pasukan yang hebat.

“Saya amat yakin bahawa semua orang tahu Spurs merupakan pasukan yang hebat pada musim lalu dan mereka adalah pencabar utama liga,” katanya.