Pemain tengah, Ilkay Gundogan, berkata Manchester City tidak akan mengubah pendekatan ketika menerima kunjungan Southampton pada Ahad walaupun gagal mencipta sebarang kemenangan dalam empat perlawanan.

Pengurus, Pep Guardiola, telah mencipta 10 kemenangan berturut-turut sejak tiba awal musim ini dan dilihat bakal mendominasi kejohanan di pentas Eropah.

Seri 3-3 dengan Celtic pada 28 September mengakhiri kemenangan City dan sejak itu, mereka gagal memungut sebarang tiga mata penuh.

Tewas kepada Tottenham dan Barcelona dalam aksi Liga Juara-Juara selepas seri 1-1 dengan Everton, menyaksikan City turut gagal menyempurnakan dua sepakan penalti.

Prestasi merudum tidak merisaukan Gundogan, sebaliknya meminta rakan sepasukannya untuk terus bermain dengan taktikal yang diterapkan oleh Guardiola bagi perlawanan akan datang.

"Saya berpendapat kami harus bermain seperti yang telah diarahkan oleh jurulatih," kata Gundogan.

"Kami memiliki kualiti di dalam pasukan serta pemain yang bagus. Jika kami meneruskan apa yang telah berjaya kami lakukan dalam beberapa minggu pada awal musim, saya pasti kami mampu mencipta kejayaan pada penghujung musim ini.

"Kami perlu cuba untuk memberikan tumpuan sepenuhnya dan tidak mengulangi kesilapan daripada perlawanan yang lalu."

Gundogan mungkin dilihat masih baru dalam kancah bola sepak Inggeris tetapi dia menyedari setiap ancaman daripada Southampton dan menjangkakan satu tugas yang sukar menanti The Citizens.

"Saya amat mengagumi permulaan yang dilakukan oleh Southampton.

"Saya menggemari gaya permainan mereka sejak kebelakangan ini. Banyak pasukan besar bergelut ketika bertemu mereka."