Guendouzi terlepas hukuman 

Oleh Shaiful Shamsudin 23 Jun 2020 91
Guendouzi terlepas hukuman 
Matteo Guendouzi tidak akan menghadapi tindakan lanjut atas insiden yang melibatkannya dengan Neal Maupay dalam kekalahan 1-2 Arsenal kepada Brighton & Hove Albion, hujung minggu lalu. 

Pemain tengah Arsenal itu dilihat mencengkam tekak Maupay dan menolaknya ke tanah sejurus wisel penamat dalam pertemuan di Stadium Amex itu.

Persatuan Bolasepak (FA) mendedahkan kejadian itu -- yang tidak dikesan oleh pengadil, Martin Atkinson -- telah diperiksa oleh video bantuan pengadil (VAR).

"Tingkah laku Matteo Guendouzi ketika insiden ini tidak dikesan oleh pegawai perlawanan pada waktu itu tetapi kemudiannya diselidik menerusi VAR, jadi dia tidak akan menghadapi sebarang tindakan susulan," menurut satu kenyataan FA. 

FA juga memberi amaran kepada kedua-dua kelab itu sambil mengingatkan mereka akan tanggungjawab terhadap perbalahan besar-besaran pada akhir perlawanan.

Gol Maupay pada minit ke-95 itu membantu kedudukan Brighton yang terancam penyingkiran apabila bangkit untuk menang setelah Lewis Dunk membatalkan jaringan pembukaan Nicolas Pepe.

Penyerang Perancis itu juga dikritik kerana mengasari Bernd Leno dalam babak pertama yang menyebabkan penjaga gawang Arsenal tersebut terpaksa diusung keluar ekoran kecederaan lutut yang serius.

Maupay meminta maaf kepada pengurus The Gunners, Mikel Arteta, dalam separuh masa pertama sambil menegaskan bahawa dia tidak bermaksud untuk mencederakan Leno.

Ditanya apakah yang berlaku pada akhir perlawanan itu, Maupay memberitahu BBC: "Beberapa pemain mereka perlu belajar mengenai sikap rendah diri, khususnya salah seorang daripada mereka. 

"Maksud saya, perkataan yang dilepaskannya sepanjang perlawanan merupakan perkara yang sangat tidak elok. Saya tidak mahu menyebut apa yang telah diperkatakannya kerana saya mungkin terjerumus dalam masalah akibat itu -- ia dalam bahasa Perancis memandangkan berasal dari sana.

"Jadi ketika saya menjaringkan gol, saya hanya perlu mengatakan, 'Dengar, itulah yang terjadi apabila anda terlalu banyak bercakap di atas padang.'"

Berikutan kekalahan berturut-turut sejak Liga Perdana Inggeris (EPL), kelab London itu berharap dapat kembali meniti landasan kemenangan di Southampton, Jumaat ini. 


 

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen