Guendouzi digugurkan kerana masalah disiplin dalam latihan

Oleh Staff Writer 20 Februari 2020 1373
Guendouzi digugurkan kerana masalah disiplin dalam latihan
Pengurus Arsenal, Mikel Arteta, mengesahkan Matteo Guendouzi digugurkan dalam kemenangan 4-0 ke atas Newcastle United kerana masalah disiplin dalam sesi latihan.

Pemain Perancis itu dilaporkan bertikam lidah dengan Arteta ketika The Gunners menjalani latihan di Dubai sewaktu tempoh rehat pertengahan musim.

Ketika sidang media menjelang aksi Liga Europa menentang Olympiacos, awal pagi esok, Arteta mendedahkan ketiadaan pemain berusia 20 tahun itu disebabkan isu yang berlaku dalam sesi latihan.

"Saya hanya membuat pemilihan berdasarkan bagaimana mereka berlatih, bermain, menjaga disiplin dan setiap minggu ia berbeza," katanya.

"Setiap minggu ada sebabnya. Ia tentang bagaimana kami berlatih, kehidupan dan saya mahu pemain terbaik untuk setiap perlawanan. Saya memilihnya berdasarkan apa yang saya lihat dalam waktu harian."

Guendouzi kembali dinamakan di dalam skuad Arsenal bagi aksi pusingan 32 Liga Europa menentang Athens tetapi pengurus dari Sepanyol, Arteta, menolak untuk mengesahkan jika pemain itu diletakkan dalam kesebelasan utama.

"Kami berehat 15 hari. Kami hanya mengharungi satu perlawanan, jadi saya akan turunkan pasukan yang saya fikir terbaik.

"Perkara lain, ia bergantung kepada perlawanan itu. Kami tidak boleh kawal semua perkara. Kadangkala anda berfikir untuk merehatkan pemain dan mereka berdepan masalah ketika latihan atau sakit.

"Jadi, kami akan menyediakan skuad yang kami fikir terbaik untuk menewaskan Olympiacos dan selebihnya, pasukan akan uruskan."
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen