Pep Guardiola berasakan Fernandinho dan Kyle Walker mampu mengisi kekosongan yang ditinggalkan pertahanan tengah Manchester City, Aymeric Laporte.

Pertahanan kelahiran Perancis itu, yang akhirnya dipanggil menyertai Les Bleus minggu ini, terpaksa diusung keluar ketika City meraih kemenangan 4-0 ke atas Brighton and Hove Albion dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL).

Laporte disifatkan oleh Guardiola sebagai salah seorang pertahanan terbaik Eropah, namun kecederaan lutut yang dialami berkemungkinan memaksanya diketepikan untuk jangka masa panjang dan pemain berusia 25 tahun itu kini menyertai Leroy Sane dalam bilik rawatan.

Ketiadaannya menyaksikan City hanya memiliki seorang pertahanan tengah senior, Nicolas Otamendi, namun Guardiola mengesahkan John Stones berkemungkinan dapat diturunkan berdepan Norwich City selepas pulih daripada kecederaan hamstring.

City tidak menandatangani pertahanan tengah ketika jendela perpindahan sebelum ini, sebaliknya mendapatkan pertahanan kanan, Joao Cancelo daripada Juventus.

Mereka turut gagal mendapatkan pengganti Vincent Kompany dan menamatkan minat terhadap Harry Maguire sebelum rakan senegara Stones dan Walker itu menyertai Manchester United.

"Kelab ini berfungsi dengan baik dan terdapat ketika kami tidak mampu seperti pasukan lain," kata Guardiola.

"Kami telah banyak melakukan pelaburan mendapatkan khidmat barisan pemain. Ia adalah sebab City merupakan skuad yang berkualiti, namun kami memiliki had.

"Mungkin pada masa akan datang tetapi setiap keinginan harus diketepikan.

"Kami tidak menjangkakan Sane akan berehat panjang tetapi kami perlu menunggu dan perkara yang berlaku tidak dapat dielakkan.

"Sepanjang musim, masalah ini sering berlaku dan pemain-pemain harus tampil membuktikan kemampuan dan satu hari nanti, kami berkemungkinan terpaksa menurunkan Kyle Walker sebagai pertahanan tengah dan kami perlu mencari jalan penyelesaian.

"Saya sangat kecewa untuk Sane, Laporte hari ini, ia amat membimbangkan tetapi kami perlu melihat ke hadapan."
Guardiola dijangka mula menyenaraikan pemain-pemain daripada akademi, dengan pemain seperti Eric Garcia dan Taylor Harwood-Bellis memiliki potensi untuk dibawa ke kancah EPL.