Pengendali Manchester City, Pep Guardiola, berharap Sergio Aguero akan mengundangnya untuk keluar makan malam setelah penyerang Argentina itu berjaya memecahkan rekod jaringan terbanyak sepanjang zaman buat kelab berkenaan.

Aguero menyamai rekod 177 gol oleh Eric Brook untuk berkongsi status penjaring terbanyak kelab itu setelah menyempurnakan sepakan penalti ketika menentang Burnley semalam.

Jaringan itu pastinya memberi makna besar buat bekas pemain Atletico Madrid itu selepas kembali daripada kecederaan patah tulang rusuk yang memaksanya berehat selama tiga minggu.

"Apabila anda berehat tiga minggu, anda memerlukan masa untuk kembali ke prestasi asal. Aguero memerlukan waktu bermain dan dia melakukannya pada hari ini.

"Sangat penting buat Aguero untuk menyamai rekod dan dia tentu akan memecahkannya tidak lama lagi," kata Guardiola kepada BBC Sport.

Dengan nada berseloroh, Guardiola juga berpendapat Aguero perlu memberikan penghargaan kepada seluruh pasukan atas kejayaan itu.

"Dia perlu membawa dan mengundang kami untuk makan malam. Satu gol lagi dan ia akan berlaku tidak kira bia-bila masa sahaja," tambahnya.

Dalam masa sama, Guardiola turut melihat kontroversi penalti melibatkan Bernardo Silva sebagai titik permulaan kepada permainan cemerlang anak-anak buahnya.

"Ia satu penalti yang jelas. Penjaga gol Burnley menyentuh kaki kanan Bernardo."

Kekalahan pencabar terdekat, Manchester United, di tangan Huddersfield Town membolehkan City menjarakkan kedudukan di puncak liga dengan kelebihan lima mata.