Pep Guardiola berazam untuk tidak hanya meraih keputusan seri dengan skuad bimbingan Jurgen Klopp apabila Manchester City bertandang ke Liverpool bagi aksi Liga Perdana Inggeris (EPL), malam esok.

Pengurus dari Catalan itu telah menempa tujuh kekalahan di tangan bekas pengurus Bundesliga itu sepanjang kariernya dan tiada pengurus lain yang pernah melakar kejayaan seumpamanya.

Tiga daripada kemenangan itu dirakamkan tahun ini yang menyaksikan Liverpool memenangi aksi mendebarkan di Anfield pada Januari lalu serta dua kali di peringkat suku akhir Liga Juara-Juara (UCL) musim lalu.

Begitupun, dengan trofi EPL berjaya dibawa pulang ke Stadium Etihad, Guardiola menafikan niat melunaskan dendam sedang bermain di fikirannya menjelang pertemuan hujung minggu ini.

"Saya bukannya menentang Jurgen, saya akan menentang Liverpool, kami bermain menentang Liverpool," katanya.

"Kadang-kadang saya menang, ada masanya saya kalah. Kadang-kadang kami menang perlawanan, adakalanya kami tewas.

"Beliau seorang pengurus yang amat bagus. Saya begitu menghormati corak permainan pasukannya kerana mereka proaktif.

"Tetapi, ia bukan berkenaan saya untuk mengalahkannya. Kami melakukannya dalam Liga Perdana tetapi tidak dalam UCL."

City dan Liverpool belum kalah selepas tujuh pembukaan EPL untuk berkongsi 19 mata di puncak.