Pengurus Manchester City, Pep Guardiola, tidak mempunyai kebimbangan menurunkan Rahim Sterling dalam aksi berdepan pencabar kejuaraan Liga Perdana, Liverpool.

Penyerang antarabangsa England itu menjadi bahan kecaman penyokong The Reds sebaik dia meinggalkan Merseyside pada 2015 dan sesetengah daripada mereka masih tidak memaafkannya sehingga kini.

Sterling tidak diturunkan dalam aksi berdepan bekas kelabnya itu dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah, April lalu, namun Guardiola menjelaskan keputusan tersebut hanyalah berdasarkan keperluan taktikalnya.

Menjelang pertemuan dengan skuad kendalian Jurgen Klopp itu yang belum tewas dalam saingan liga malam ini, Guardiola menjelaskan potensi Sterling untuk kembali beraksi di Anfield.

"Ini bukan kali pertama.

"Mengapa dia tidak beraksi musim lalu adalah perkara lain. Ia hanya berdasarkan percaturan taktikal, saya lebih memerlukan Kyle Walker di bahagian kanan waktu itu.

"Itu adalah perancangan. Kadangkala ia menjadi, kadangkala tidak.

"Apabila dia menjadi pemain kami buat tempoh yang lama, lambat-laun dia pasti akan beraksi di Anfield, itu perkara normal.

"Dia membesar dan mempunyai banyak kenangan di sana. Sudah pasti penyokong Liverpool mahu dia beraksi buruk. Namun, itu bukan alasan untuk saya meminggirkannya," kata Guardiola.