Guardiola tidak temui alasan untuk tinggalkan City

Oleh Penulis Jemputan 23 November 2019 273
Guardiola tidak temui alasan untuk tinggalkan City
Pep Guardiola menafikan prestasi tidak konsisten Manchester City membuatkannya mahu mencari cabaran baru dan menegaskan dia akan kekal sehingga kontraknya tamat.

City bakal melayan kunjungan Chelsea awal pagi esok tatkala mereka meneruskan usaha mempertahankan kejuaraan liga selepas ketinggalan sembilan mata di belakang pendahulu, Liverpool, susulan kemenangan The Reds 3-1 di Anfield sebelum ini.

Dalam aksi tersebut, Guardiola dilihat bertelagah dengan pegawai perlawanan selepas dia mempersoalkan beberapa keputusan yang tidak memihak kepada pasukan kendaliannya itu.

Ini kali pertama dia memasuki musim keempat mengemudi sebuah pasukan selepas musim 2011 bersama Barcelona, di mana mereka memenangi Piala Raja Sepanyol, Piala Super Sepanyol, Piala Super Eropah dan Piala Dunia Kelab tetapi menyerahkan kejuaraan LaLiga kepada Real Madrid.

"Musim terakhir saya di Barca, saya memenangi empat kejuaraan. Maaf, boleh tahan juga," katanya.

"Baiklah, kami tidak memenangi liga dan seperti kebiasaan, saya tidak meraih Liga Juara-Juara tetapi ia bagus.

"Kami mempamerkan aksi bola sepak terbaik di Barcelona kerana mengenali antara satu sama lain. Itu perasaan saya."

Dia juga menambah: "Tiada sebab untuk saya keluar dari sini. Saya berpuas hati bekerja dengan kelab serta pemain di sini. Saya mahu membantu," tambahnya.

"Jika orang ramai percaya saya akan letakkan jawatan atau bersedih dengan keputusan, ketinggalan sembilan mata, mereka tidak mengenali saya.

"Saya sukakan cabaran ini. Saya suka berada dalam posisi ini. Jika kelab mahu, saya akan berada di sini pada musim depan. Itu pasti.

"Saya mahu tinggal di bandar ini kerana mengenali ramai orang baik di sini. Saya mahu bekerja dan tinggal bersama mereka. Saya mahu berada di sini.

"Ia bukan disebabkan rakan saya, Txiki Begiristain, yang merupakan pengarah bola sepak di City dan pernah bekerja di Barca. Saya berada di sini untuk menang. Jika tidak, saya berdepan masalah. Saya sedar tentangnya.

"Saya sangat berpuas hati bekerja di kelab dan bandar ini. Saya mahu membantu kelab ini menjadi lebih bagus. Saya masih menikmati tempoh bekerja dengan pemain di sini dan mahu kekal lebih lama.

"Jika kelab mahu, saya akan kekal."

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen