Pengurus Manchester City, Pep Guardiola, percaya Video Bantuan Pengadil (VAR) patut kekal dan Liga Perdana Inggeris perlu menyesuaikan diri dengan penggunaan teknologi itu.

City terlepas peluang meraih kemenangan akibat daripada campur tangan VAR ketika seri 2-2 menentang Tottenham Hotspur, kelmarin.

Gabriel Jesus menjaringkan gol kemenangan dalam waktu kecederaan tetapi dibatalkan selepas ulang tayang menunjukkan bola terkena tangan Aymeric Laporte sebelum penggempur dari Brazil itu menyudahkan bola melepasi Hugo Lloris sehingga mencetuskan seluruh peminat di Etihad meraikannya.

Namun, situasi sama berlaku seperti ketika menentang Spurs dalam aksi suku akhir Liga Juara-Juara Eropah musim lalu, kegembiraan itu hanya seketika.

Dalam aksi kelmarin sewaktu babak pertama, Rodri tidak diberikan sepakan penalti walaupun ulang tayang menunjukkan dia ditarik oleh Erik Lamela di dalam petak sehingga membuatkan Guardiola berjenaka bahawa VAR sedang bersantai ketika itu.

Ditanya sama ada teknologi itu perlu dihentikan sementara susulan kontroversi yang berlaku, Guardiola menjawab: "Tidak, tidak. Kami perlu teruskan.

"Saya masih ingat musim pertama tiba di sini. Apabila anda menyentuh pemain seperti menarik baju, ia penalti. Kemudian, ia diterima.

"Jika ia terkena tangan, pengadil akan tiupkan wisel. Bagi saya, ia tidak jelas. Apabila saya melihatnya dari sudut berbeza, ia tidak jelas."

Berdasarkan statistik, jelas sekali City seharusnya memenangi perlawanan itu walaupun Lamela dan Lucas Moura dua kali menyamakan kedudukan tatkala juara bertahan liga itu mencatat 30 berbalas dua atau tiga percubaan.

Namun, Guardiola tidak meragui kemampuan anak buahnya mencipta jaringan walaupun usaha mempertahankan gelaran liga melalui cabaran getir di peringkat awal.

"Saya tidak ingat jumlah jaringan yang dihasilkan musim lalu. Saya tidak meragui bahawa kami memiliki pasukan yang menyumbat banyak jaringan," tambahnya.

"Jelas sekali kami melakukan 30 percubaan untuk menyumbat lima atau enam gol. Kami beraksi untuk itu.

"Sudah tentu anda perlu tingkatkannya tetapi saya tidak meraguinya. Dalam dua musim terakhir, kami merupakan pasukan yang menyumbat gol terbanyak. Saya tidak sangsi tentang perkara itu."