Guardiola tidak pasti jika Garcia sempat berpindah ke Barca

Oleh Muzaffar Musa 3 Oktober 2020 890
Guardiola tidak pasti jika Garcia sempat berpindah ke Barca
Pep Guardioa berkata dia tidak pasti sama ada pertahanan Manchester City, Eric Garcia, sempat untuk kembali ke pangkuan Barcelona menjelang tarikh tutup jendela perpindahan Isnin ini.

Guardiola mendedahkan pada Ogos lalu bahawa Garcia menolak untuk menandatangani kontrak baru kerana Barcelona dilaporkan mahu membawanya kembali ke negara kelahirannya, Sepanyol.

Kontrak pertahanan tengah berusia 19 tahun itu akan tamat pada penghujung musim ini dan spekulasi perpindahannya ke skuad Blaugrana itu kian memuncak.

Semalam, Guardiola mendedahkan masih belum ada sebarang kesepakatan dengan Barca tetapi mengakui ia tidak bermakna pemain remaja itu, yang menyertai City pada 2017, akan kekal di Manchester.

Ditanya mengenai perpindahan Garcia ke Barca, dia berkata: "Saya tidak tahu, hari ini dia masih pemain kami dan Isnin ini adalah tarikh tutup jendela perpindahan, jadi saya tidak tahu apa sebenarnya yang sedang berlaku.

"Saya sedar dia mahu ke sana dan Barcelona mahukan khidmatnya tetapi belum ada kesepakatan di antara kedua-dua kelab.

"Ituah yang saya tahu buat masa ini dan bagaimana pengakhirannya, saya tidak tahu," katanya.

City akan berdepan Leeds United di Elland Road malam ini selepas tewas 2-5 kepada Leicester City dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) hujung minggu lalu sebelum bangkit menewaskan Burnley dalam Piala EFL.

Penyerang, Sergio Aguero dan Gabriel Jesus, merupakan antara pemain yang tidak dapat diturunkan gara-gara kecederaan manakala Ilkay Gundogan masih belum kembali menyertai sesi latihan selepas positif koronavirus.

Guardiola, yang tidak mendedahkan sama ada pemain barunya, Ruben Dias, akan diturunkan dalam perlawanan itu atau tidak, berkata City tidak boleh mencari sebarang alasan ketika mereka sedang bersedia untuk menghadapi skuad bimbingan Marcelo Bielsa itu, yang sedang berada di kemuncak prestasi.
 
"Saya tahu kami masih sedikit ketinggalan daripada prestasi terbaik kami di atas banyak sebab tetapi ia adalah seperti itu," tambah pengurus City itu.

"Kami tewas kepada Leicester bukan kerana kekurangan daripada segi fizikal atau kerana kami tidak dapat menurunkan beberapa pemain atau sesuatu seperti itu. Anda dapat lihat tiga sepakan penalti yang diberikan, jadi amat sukar untuk memenangi perlawanan seperti itu.

"Kami perlu melihat kedudukan kami. Sudah pasti kami tidak berada di tempat yang sepatutnya disebabkan beberapa alasan seperti kecederaan, COVID, disebabkan banyak perkara tetapi ia adalah seperti itu.

"Jika kami mula merungut, kami tidak dapat mengambil langkah ke depan dan sebagai kelab besar yang mahu mencapai perkara yang bagus, mereka perlu sentiasa melangkah ke depan dengan apa jua keadaan, seperti situasi yang sedang kami hadapi," katanya.
 

Tentang Penulis

Muzaffar Musa

Komen