Pengurus Manchester City, Pep Guardiola, menjelaskan dirinya tidak akan mempengaruhi kapten, Vincent Kompany, berhubung urusannya dengan pasukan kebangsaan.

Kompany mengalami kecederaan betis ketika Belgium menewaskan Gibraltar 9-0, Ogos lalu, sehingga menyebabkannya terlepas 11 aksi buat City dalam semua kejohanan.

Ketika sidang media menjelang aksi bertemu West Bromwich Albion pada minggu ini, Guardiola menjangkakan pemain berusia 31 tahun itu akan kembali ke dalam pasukan selepas aksi antarabangsa, bulan depan.

Sebelum ini, Kompany mendedahkan dirinya mungkin memikirkan untuk bersara daripada skuad kebangsaan selepas Piala Dunia 2018 di Russia, namun Guardiola menolak untuk mencampuri urusan itu.

"Saya tidak tahu situasinya.

"Kompany adalah seorang lelaki sebenar. Dia lebih tahu apa yang perlu dilakukan terhadap dirinya.

"Berita baik dari Barcelona, di mana Kompany bertemu pakar perubatan, Ramon Cugat, adalah sama dengan apa yang saya dapat daripada doktor di sini. Diharapkan selepas aksi menentang Arsenal (5 November), dia akan bersedia," ujar Guardiola.

Sejak ketiadaan pertahanan tengah itu, City bergantung nasib kepada John Stones dan Nicolas Otamendi dan kedua-duanya menampilkan gandingan yang mantap sehingga membolehkan penjaga gol, Ederson Morais, hanya dibolosi sebanyak empat kali dalam saingan liga.

Bagaimanapun, Guardiola tetap menganggap kehadiran semula Kompany ke pangkuan pasukan sebagai sesuatu yang penting walaupun dalam masa sama memiliki tenaga lain seperti Eliaquim Mangala dan pertahanan muda, Tosin Adarabioyo.

"Sudah tentu kami memerlukan Kompany dan Mangala di peringkat tertinggi kerana City tidak boleh beraksi dalam semua perlawanan dalam baki lapan bulan musim ini. Ia mustahil.

"Kami beruntung kerana mereka tidak tercedera pada bulan ini. City memiliki Tosin tetapi dia masih muda.

"Apa yang saya mahukan adalah Kompany segera pulih kerana kami memerlukannya dan ia terbukti dalam tujuh perlawanan terakhir saingan musim lalu. Personalitinya juga penting," tambah Guardiola.