Guardiola tidak bermaksud persoal komitmen penyokong 

Oleh Staff Writer 29 Januari 2020 332
Guardiola tidak bermaksud persoal komitmen penyokong 
Pep Guardiola akur bahawa dia telah membuat "kesilapan" apabila mempersoalkan mengapa peminat Manchester City tidak memenuhi Stadium Etihad dalam perlawanan terakhir mereka.

Pengurus, yang membantu City menjulang tiga kejuaraan domestik musim lalu itu, diserang balas oleh penyokong sendiri selepas perlawanan Piala FA menentang Fulham, Ahad lalu, apabila menyatakan terkejut kerana hanya 39,223 penyokong yang hadir. 

Pertembungan dengan Manchester United dalam pusingan kedua separuh akhir Piala Liga Inggeris (EFL) awal pagi esok dijangka akan dibanjiri seramai 55,000 peminat. 

Bercakap mengenai peminat City selepas kemenangan 4-0 ke atas Fulham itu, Guardiola berkata semoga lebih ramai lagi penyokong akan datang menghadiri perlawanan dengan United.

Bagaimanapun, ada penyokong yang segera bertindak balas dengan merujuk kepada jadual padat baru-baru ini selain kos untuk menghadiri setiap perlawanan, justeru pendirian mereka itu mendorong Guardiola untuk merenungkan semula ulasannya itu. 

Bekas pengurus Barcelona itu berkata dia tidak menyedari bahawa kejohanan berkenaan disiarkan secara langsung oleh BBC sehingga menjejaskan kehadiran penyokong. 

"Bukan hasrat saya untuk menyinggung perasaan mereka, mereka adalah sebahagian daripada kami," katanya dalam sidang akhbar malam tadi ketika membincangkan reaksi peminat.

"Sejak saya tiba di sini dari hari pertama hingga hari terakhir, apa yang saya mahu ialah berjuang dan beraksi dengan baik bagi melihat kehadiran penuh di Etihad dalam setiap perlawanan. 

"Jadi, kami telah memainkan peranan yang baik untuk menggoda mereka supaya hadir. Satu-satunya sebab mengapa kami melakukan tugas ini adalah bukan untuk mengejar gelaran tetapi untuk turun di Stadium Etihad, melihatnya dipenuhi dan bersama-sama penyokong untuk menikmati perlawanan."

Beberapa peminat The Citizen menegaskan langkah itu bukan didorong oleh tahap prestasi pasukan, sebaliknya ia ada kena-mengena dengan perbelanjaan yang melibatkan pembelian tiket dan masa untuk ke stadium. 

Guardiola kemudian menegaskan dia memahami keadaan penyokong dengan berkata: "Tidak perlu memberitahu saya (mengenai perkara itu) kerana saya adalah sebahagian daripada (penyokong) ketika saya masih kecil (ke stadium bersama) ibu bapa. Saya tahu apa yang berlaku."

Dia ingin menerangkan ulasannya pada hujung minggu lalu itu menunjukkan betapa pentingnya perlawanan ketika menentang Fulham itu -- dia berasakan Piala FA mempunyai tarikan yang lebih besar berbanding gelaran Eropah.

"Sejak saya tiba di sini, saya belajar daripada bola sepak Inggeris mengenai betapa pentingnya Liga Perdana dan Piala FA - lebih penting daripada UCL... lebih," katanya lagi. 

"Kami tahu melalui kelab dan saya mengalaminya.

"Kesilapan saya adalah memikirkan ia perlawanan hari Ahad pada jam 1 tengah hari, jadi hari ini stadium pasti akan penuh. Saya tidak tahu ia disiarkan di BBC One, bukannya Sky."

Bekas pengurus Bayern Munich itu, bagaimanapun, masih mahu melihat Stadium Etihad dibanjiri penyokong dalam setiap perlawanan.

"Kami cuba melakukan yang terbaik untuk membolehkan mereka berasa bangga dengan pasukan ini dan saya sekali lagi akan cuba untuk mendorong mereka untuk bersama kami sebanyak mungkin.

"Jika setiap perlawanan stadium boleh penuh, ia pasti lebih bagus," katanya lagi.



Editor: Shaiful Shamsudin 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen