Bekas pemain pertahanan Real Madrid dan Bolton Wanderers, Ivan Campo, percaya tiada jaminan buat Pep Guardiola untuk berjaya di Manchester City.

Guardiola memenangi 10 aksi kompetitif awal di City, bekas bos Barcelona dan Bayern Munich itu bagaimanapun berdepan laluan yang semakin berliku dengan kekalahan kepada Chelsea dan Leicester City pada awal bulan ini sehingga menjejaskan pemburuan gelaran mereka.

Kemenangan berturut-turut ke atas Watford dan Arsenal pada minggu lalu meletakkan mereka kembali ke landasan sebenar, namun bagi Campo, yang meninggalkan Sepanyol untuk berpindah ke Stadium Reebok pada 2002, memberitahu Omnisport bahawa Guardiola perlu berusaha untuk menyesuaikan taktikalnya dengan bola sepak Inggeris.

"Bola sepak yang diamalkannya adalah berbeza berbanding di Liga Perdana Inggeris (EPL)," kata Campo yang kini berusia 42 tahun dan pernah empat kali mewakili Sepanyol.

"Sebagai contoh, apabila anda menyentuh bola di Barcelona adalah sangat berbeza di England.

"Bola sepak di England lebih pantas, lebih sengit. Masalahnya, jika kamu mahu beraksi di EPL seperti mana Barcelona, kamu mungkin akan kalah.

"Ketika ini, dia berdepan dengan detik kesukaran di EPL kerana Guardiola berkata, 'OK, kalau saya menampilkan corak seperti Barcelona, kami akan menang'. Namun di EPL adalah sangat berbeza."

City akan berkunjung ke Hull City untuk perlawanan Boxing Day sebelum pertemuan dengan seteru pemburuan kejuaraan, Liverpool, di Anfield pada tahun baru.