Guardiola: Tewaskan Fulham cara terbaik raikan perlawanan ke-700

Oleh Muzaffar Musa 6 Disember 2020 254
Guardiola: Tewaskan Fulham cara terbaik raikan perlawanan ke-700
Pep Guardiola berkata kemenangan ke atas Fulham malam tadi merupakan cara paling sempurna untuk meraikan perlawanannya yang ke-250 sebagai pengurus Manchester City dan ke-700 sebagai ketua jurulatih.

Karier gemilang pengendali berbangsa Sepanyol itu diterjemahkan di tiga negara dengan memenangi liga divisyen utama Sepanyol, Jerman dan England.

Pemburuan gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL) ketiganya diteruskan dengan kemenangan 2-0 ke atas Fulham hasil jaringan Raheem Sterling dan Kevin de Bruyne.

Sepanjang 700 perlawanan itu, Guardiola memenangi 507 daripadanya dan hanya pernah tewas 82 kali, sekali gus merekodkan 72.4 peratus kemenangan.

"Baiklah, perkara penting dahulu, ia tentang perkara terbaru -- perkara terbaru sudah pasti mengenai kemenangan ini," katanya dalam laman web rasmi City.

"Anda tahu, 250 perlawanan saya di sini dan pada masa sama 700 perlawanan yang saya kongsikan bersama warga Barcelona di sana, dengan Bayern Munich.

"Terdapat banyak perlawanan, banyak kemenangan dan banyak gelaran, hanya 82 kekalahan daripada 700 perlawanan apabila saya menyedarinya -- Wah, betapa hebatnya waktu bersama tiga kelab yang luar biasa ini.

"Saya gembira dapat mencapai 250 perlawanan bersama kelab ini dan lebih banyak akan meyusul. Jadi, harap-harap kami akan memperoleh kejayaan pada masa akan datang.

"Sudah pasti kadarnya amat bagus, untuk melalui 700 perlawanan dengan lebih daripada 70 peratus kemenangan. Jadi ia amat bagus," katanya.
 
Guardiola memuji pemain tengah, Ilkay Gundogan, dengan pengaruh yang dibawa pemain itu sepanjang perlawanan tetapi mengingatkannya agar tidak hilang fokus ketika melakukan hantaran.

Gundogan melakukan 116 hantaran -- lebih banyak berbanding mana-mana pemain City -- dengan 89.7 peratus ketepatan.

"Ilkay pemain yang amat penting buat kami. Dia mempunyai perwatakan.

"Dia bertahan dengan baik. Dia kehilangan bola-bola mudah dan perlu mengelakkannya. 

"Tetapi Ilkay pemain yang luar biasa dalam setiap situasi. Dia boleh bermain di depan dan sebagai pemain tengah bertahan.

"Secara keseluruhan, serangan kami agak sia-sia. Kami sedar kami perlu memperbaikinya tetapi amat penting untuk terus mencipta peluang.

"Dalam 20 minit terakhir, kami terlalu banyak kehilangan bola dengan mudah, di mana ia satu masalah. Kami perlu melakukan perkara mudah dengan lebih baik. Itulah langkah seterusnya," tambahnya.


 

Tentang Penulis

Muzaffar Musa

Komen