CRYSTAL PALACE 0 MANCHESTER CITY 2

Pep Guardiola enggan menyembunyikan rasa sakit hatinya selepas Manchester City dinafikan sepakan penalti dalam kemenangan 2-0 ke atas Crystal Palace, awal pagi tadi.


Video bantuan pengadil (VAR) jarang menyebelahi skuadnya dalam musim ini, khususnya ketika seri 2-2 dengan Tottenham pada Ogos lalu yang menyaksikan jaringan Gabriel Jesus pada masa kecederaan dibatalkan ekoran bola secara tidak sengaja terlebih dahulu terkena tangan Aymeric Laporte.

Teknologi itu juga membantu City di Selhurst Park apabila penolong pengadil, sehaluan dengan pengadil, Anthony Taylor, untuk tidak menghadiahkan sepakan penalti walaupun Kevin De Bruyne dengan jelas dijatuhkan Wilfried Zaha.

Guardiola tetap berang dengan keputusan itu walaupun ia tidak merencatkan kemenangan City yang terlepas beberapa peluang terhidang untuk menokok gol sumbangan Jesus dan David Silva.

"Dia sengaja merebahkan badan," katanya secara sinis kepada sidang akhbar ketika ditanya apakah pasukannya sepatutnya dihadiahkan sepakan penalti.

"Setiap hujung minggu, kami akan sentiasa sengaja menjatuhkan diri seperti ketika menentang Bournemouth tetapi ketika menentang Tottenham pula, bola terkena tangan pemain kami pada minit ke-94.

"Sudah tentu, saya kecewa. Jadi, soalan seterusnya."

Berikutan kecederaan Nicolas Otamendi sementara John Stones pula tidak cukup cergas, pengendali berbangsa Sepanyol itu kemudian menamakan pemain tengah, Fernandinho dan Rodri, di pusat pertahanannya.

"Terima kasih banyak kepada mereka berdua," kata Guardiola.

"Bukan mudah untuk beraksi di posisi yang berbeza untuk mengekang penyerang Palace, Zaha, (Jordan) Ayew, (Christian) Benteke serta (Andros) Townsend dan pada akhirnya, mereka melaksanakan tugas dengan baik."

Sementara itu, Guardiola memilih untuk menggandingkan Jesus berbanding Sergio Aguero untuk pemain Brazil itu meledak gol ke-50 bersama juara bertahan itu.

Jesus telah menyumbat gol dalam setiap tujuh perlawanan terakhirnya yang mengundang kegembiraan pengurusnya itu.

"Saya tidak akan bercakap betapa pentingnya Sergio buat kelab kami, ini kerana dia sangat penting," kata Guardiola.

"Gabriel, dia baru pulang dari Brazil, dia mempunyai rentak permainan. Sergio pula sudah 10 hari tidak berlatih tetapi kedua-duanya sama penting.

"Apabila Sergio beraksi, dia di tahap yang baik dan ketika Gabriel beraksi, dia juga di tahap yang baik. Selepas itu, saya akan membuat keputusan akhir."