Pep Guardiola mengakui terkejut dengan jurang di antara Manchester City dan Manchester United sejak dia mengambil alih jawatan pengurus di Stadium Etihad.

City dan United yang akan berentap dalam 'derby' Manchester yang pertama musim ini, awal pagi esok -- masing-masing menduduki tempat keempat dan kelima pada 2015-16, dengan hanya dipisahkan perbezaan gol selepas mengumpul 66 mata.

Ketibaan Guardiola diiringi pelantikan Jose Mourinho, yang mengetuai kem Old Trafford dalam kempen berikutnya dijangka menawarkan bab baru ekoran pertelingkahan yang tidak dapat dilupakan di antara kedua-dua pakar taktikal elit itu sejak era di Barcelona dan Real Madrid.

Bagaimanapun, jangkaan itu meleset yang menyaksikan kejuaraan Mourinho dalam Piala Liga Inggeris (EFL) dan Liga Europa pada 2016-17 hanyalah detik kemerosotan United.

Bekas pengurus Chelsea dan Inter itu dipecat pada Disember tahun lalu manakala City pula menjulang Liga Perdana Inggeris (EPL), termasuk merakam kejuaraan 'treble' domestik yang bererti Guardiola telah menjulang lima daripada enam kejuaraan terakhir yang ditawarkan di England.

City kini dijarakkan dengan 11 mata daripada United menjelang pertemuan di Stadium Etihad itu selain jurang sembilan, 19 dan 32 mata dalam tiga musim terakhir.

Guardiola menegaskan kekalahan 2-3 pasukannya kepada seteru ketat itu dalam perlawanan pada April 2018, keputusan yang menangguhkan mereka daripada dinobatkan sebagai juara, menjadi peringatan buatnya tentang apa yang boleh berlaku dalam perlawanan 'derby', tetapi dia bersikap realistik mengenai gambaran keseluruhan di Manchester.

"Pada pandangan saya, kami kini lebih baik. Tatkala kami di kedudukan ini, kami akan berada di kedudukan yang lebih baik daripada United pada akhir musim ini," katanya.

"Pungutan mata membuktikan bahawa ketekalan kami adalah luar biasa.

"Tetapi dalam sesebuah perlawanan, permainan yang berbeza, dalam aksi 'derby', apa saja boleh berlaku."

Dalam sidang media sebelum ini, pengurus United, Ole Gunnar Solskjaer, berkata dia selalunya tidak dapat menikmati kehangatan 'derby' Manchester ketika bergelar pemain berikutan acap kali City bergelut di zon bawahan -- satu tempoh yang mencerminkan keadaan yang cukup berbeza.

"Kami sayangkan kelab ini. Setiap peminat menyayangi kelab mereka dan itulah sebabnya mereka menyokongnya. Tidak kira sama ada anda pernah meraih banyak kejayaan pada masa lalu, ia menjadi sebahagian daripada perasaan anda," katanya.

"Biasanya penyokong mahu melihat pasukan mereka menang, dan menang dan menang, tetapi mereka tetap memberikan sokongan walaupun dalam keadaan buruk.

"Manchester City, seperti yang saya belajar melalui sejarahnya, dalam masa-masa buruk sekalipun, penyokong kami sentiasa melaungkan sokongan yang tinggi, bahkan lebih kuat daripada sekarang.

"Daripada segi perspektif kemenangan trofi, mereka (United) adalah lebih baik. Tiada keraguan mengenainya. Angka tetap angka dan mereka telah menjulang lebih banyak gelaran daripada kami.

"Tetapi kami cuba untuk berada di tahap itu selama mungkin. Bagi peminat City, Manchester City akan sentiasa menjadi lebih baik, sama seperti penyokong United yang sentiasa percaya bahawa kelab mereka akan menjadi lebih bagus."

Daripada segi saingan yang kompetitif, Liverpool kini lebih khuatir dengan Manchester yang berwarna biru berbanding merah seperti sebelum ini.

Walaupun dijarakkan dengan 11 mata dengan pendahulu EPL asuhan Jurgen Klopp itu, Guardiola berpuas hati dengan usaha yang dilakukan City apabila kembali menemui rentak kemenangan dengan membelasah Burnley 4-1 pada pertengahan minggu ini.

"Saya tidak tahu. Salah satu sebabnya, tiada keraguan tentang itu ialah mengenai kualiti lawan yang dihadapi kami. Jumlah mereka adalah luar biasa," katanya.

"Saya menjangkakan sedikit kehambaran prestasi dalam minggu pertama musim ini selepas memenangi gelaran berturut-turut tetapi saya tiada rasa tidak berpuas hati dengan corak permainan pemain saya. Saya agak gembira apabila saya menilai kesemua perlawanan kami.

"Saya tidak begitu percaya dengan statistik tetapi setakat ini, saya tahu kami adalah pasukan yang terbaik menerusi peluang yang dicipta dan pasukan terbaik yang terlepas beberapa peluang menarik.

"Bagaimanapun, kami tercicir 11 mata. Sesuatu telah berlaku, saya akan cuba mencari puncanya."

Pertahanan goyah berikutan kecederaan yang menimpa Aymeric Laporte sementara kehilangan ketua pasukan, Vincent Kompany, sering disebut-sebut, lebih-lebih lagi City gagal menyaingi United dalam usaha mendapatkan bek tengah England, Harry Maguire.

"Dia adalah pemain United, dia memutuskan untuk ke sana," kata Guardiola. "Mereka membayar lebih daripada yang kami sanggup dan dia ada di sana.

"Saya fikir dia merupakan pemain yang luar biasa buat United dan England."