Pengurus Manchester City, Pep Guardiola, berkata dia bukan seorang ahli silap mata sewaktu ditanya tentang peluang perebutan kejuaraan Liga Perdana Inggeris susulan kekalahan di tangan pendahulu, Liverpool, 3-1 awal pagi tadi.

Kekalahan kedua dalam lima perlawanan terakhir bagi semua kejohanan itu menyaksikan City kini sembilan mata di belakang The Reds, yang kekal tanpa kalah selepas 12 perlawanan.

Kini menduduki tangga keempat liga, City bakal berdepan Chelsea sebaik sahaja kembali daripada tempoh rehat antarabangsa dan Guardiola berharap pasukan bimbingannya itu mampu mengekalkan prestasi yang ditampilkan di Anfield.

Ditanya sama ada Liverpool akan terkandas, dia menjawab: "Saya tidak tahu. Saya bukan ahli silap mata dan tidak tahu tentang masa depan.

"Diharapkan selepas aksi bersama skuad kebangsaan masing-masing, pemain akan kembali dan kami akan berdepan Chelsea.

"Apa yang berlaku hari ini membuktikan mengapa kami bergelar juara bertahan. Di dalam stadium ini, kami bermain dengan cemerlang.

"Saya sangat bangga dengan seluruh pasukan selepas berdepan salah satu gergasi terhebat Eropah. Saya sangat bangga, kami beraksi cukup baik."

Guardiola tampak berang di tepi padang selepas beberapa keputusan pengadil dilihat tidak menyebelahi pasukanya, termasuk bola terkena tangan Trent Alexander-Arnold dinafikan daripada meraih sepakan penalti.

Dia menolak untuk bercakap mengenai perkara itu selepas tamat perlawanan sambil menegaskan ucapan terima kasihnya kepada pegawai perlawanan bukan satu sindiran.

Selepas wujud dakwaan ia satu sindiran, Guardiola menjawab: "Tidak, saya mengucapkan tahniah kepada mereka dan tidak berkata apa-apa di sini.

"Tidak bagus apabila merungut tentang pengadilan selepas aksi berakhir, jadi tanya kepada pengadil, bukan saya.

"Tanya kepada ketua pengadil, Mike Riley, serta pegawai Video Bantuan Pengadil (VAR) serta yang lain.

"Saya mahu bercakap mengenai prestasi kami. Sebagai lawan, dengan masalah yang kami cetuskan, ia salah satu aksi terbaik kami.

"Kami bermain dengan membuktikan mengapa kami bergelar juara bertahan. Sudah beberapa kali kami buktikannya.

"Terdapat tiga pasukan di depan yang berpeluang lebih besar berbanding kami untuk muncul juara tetapi kami akan terus mencuba.

"Dalam bola sepak, anda tidak akan mudah mencapai kemenangan di Anfield. Saya sangat bangga dengan pasukan kendalian saya."