Pengurus Manchester City, Pep Guardiola, berkata bola sepak harus akur dengan nasibnya jika langkah mirip Perintah Kawalan Pergerakan kembali akan dikuat-kuasakan di England buat kali kedua merangkumi sukan profesional berikutan peningkatan kes COVID-19.

Guardiola menyatakan keprihatinannya bahawa banyak perniagaan akan terancam tatkala perlawanan mungkin boleh diteruskan tanpa peminat atas kelulusan khas daripada pemerintah United Kingdom (UK).

Perdana Menteri, Boris Johnson, semalam menjelaskan bahawa Liga Perdana Inggeris (EPL) akan dibenarkan untuk terus dilangsung di gelanggang tertutup sepanjang empat minggu perintah itu dikuat-kuasakan apabila perniagaan yang bukan keperluan asas diarahkan menghentikan operasi termasuk pub dan restoran.

Guardiola, yang bercakap selepas anak buahnya melakar kemenangan di Sheffield United malam tadi, menawarkan pandangan peribadinya -- sebelum perintah kawalan bergerak selama empat minggu disahkan -- apabila berasakan aktiviti bola sepak juga tidak terkecuali supaya dihentikan demi kebaikan lebih besar.

Ditanya adakah bola sepak perlu diberi keistimewaan sedangkan peraturan diterapkan ke atas perniagaan lain, Guardiola mengakui sudah menjadi satu tradisi buat sukan itu.

"Ini sesuatu yang sukar," katanya.

"Saya tahu bahawa perdana menteri terpaksa mengambil keputusan ini kerana keadaan semakin buruk. Ia berlaku di Sepanyol, Jerman dan Perancis juga. Di mana-mana sahaja.

"Virus ini masih wujud malah semakin kuat. Saya rasa dunia bola sepak tidak terkecuali atas apa yang berlaku dalam masyarakat.

"Jadi jika kami perlu beraksi maka kami akan teruskan. Tetapi kami tidak mahu dibezakan dengan masyarakat lain sedangkan mereka perlu menutup restoran atau perniagaan apa pun.

"Saya tidak mahu terlibat dalam situasi seperti ini. Saya mahu dalam keadaan selamat. Saya ingin menjaga keselamatan diri, keluarga, rakan-rakan saya, untuk seluruh England dan seluruh UK. Tetapi secara jujur ​​saya tidak tahu."




Bekas pengurus Barcelona itu menekankan betapa pentingnya untuk akur dengan nasihat pemerintah dan saintis yang berhempas-pulas untuk menurunkan kadar jangkitan.

City akan menghadapi Olympiacos dalam Liga Juara-Juara (UCL), awal pagi Rabu ini tanpa ada petunjuk sama ada saingan Eropah itu akan diteruskan musim ini.

Guardiola memandang serius krisis pandemik itu dan banyak pihak pasti terjejas apabila perintah kawalan pergerakan yang akan mula digerakkan semula di England Khamis ini.

"Ini bukan sesuatu yang melucukan. Ini serius. Jika pemerintah menyeru kami tinggal di rumah, kami perlu kekal di rumah. Jika mereka mengatakan jangan lakukan hal ini maka kami tidak melakukannya," tambahnya.

"Adalah tidak adil bagi separuh penduduk memandangkan kami mendapat kebenarkan khas daripada perdana menteri tetapi kami pula bertindak sewenang-wenangnya.

"Jadi kami harus sedar -- kenyataannya adalah pahit. Sekiranya aksi kami perlu ditangguhkan, kami akan turuti.

"Jika kami perlu beraksi kerana mereka memutuskan ia baik buat masyarakat atau atas sebab yang saya tidak pasti, kita perlu berwaspada, berhati-hati, sedar akan bahaya situasi selagi kita hidup."