Pep Guardiola percaya Video Bantuan Pengadil (VAR) dalam Liga Perdana Inggeris memberikan masalah walaupun melihat Manchester City menikmati kelebihan daripada teknologi itu ketika menentang Sheffield United awal pagi tadi.

City bernasib baik apabila penggempur The Blades, Lys Mousset, menyaksikan jaringannya dalam babak pertama dinafikan oleh VAR akibat ofsaid sebelum membenarkan gol pembukaan Sergio Aguero walaupun pengadil, Chris Kavanagh, tampak menghalang pergerakan John Fleck.

Jaringan kedua City tidak meragukan sambil Kevin De Bruyne mengesahkan kemenangan ke-100 Guardiola dalam Liga Perdana Inggeris.

VAR mencetuskan kontroversi hujung minggu lalu selepas menafikan jaringan pemain Norwich City, Teemu Pukki, sambil di Anfield, gol Wolverhampton Wanderers dibatalkan akibat ofsaid.

Tatkala pegawai perlawanan dilihat perlu lebih teliti selepas beberapa keputusan yang mencetuskan perdebatan, Guardiola turut meluahkan kekecewaannya.

"Sudah beberapa kali saya nyatakan bahawa saya memiliki senarai yang banyak untuk VAR. Setiap minggu ia merupakan masalah," katanya.

"Dalam perlawanan lain juga ia memberi masalah. Diharapkan ia mampu jadi lebih baik musim depan."

Bagaimanapun, rakan sejawatan Guardiola, Chris Wilder, yang mengalami kekalahan pertama di tempat lawan musim ini, jelas lebih kecewa.

"Sekali lagi jaringan kami dibatalkan VAR. Ia tentang lapan atau sembilan gol ketika hujung minggu. Ini bukan situasi yang membantu perlawanan," katanya.

"Namun, saya akan biarkan orang lain bercakap mengenainya kerana sudah banyak kali saya nyatakan tentang perkara ini."

Mengenai gol pembukaan City, Wilder menambah: "Saya telah menemui pengadil dan dia jujur. Kami lakukan kesilapan dan saya percaya dia juga begitu.

"Ia berlaku dengan pantas dan saya fikir dia telah dibantu oleh rakan sekerjanya.

"Kami berbincang mengenai undang-undang baru di mana jika pengadil menyentuh bola, dia harus meniupkan wisel. Jadi, sudah tentu jika dia menghalang, dia perlu membuat keputusan yang masuk akal.

"Jika dia melakukannya, saya fikir tiada siapa akan bercakap mengenai perkara itu."


Editor: Nafis Abdullah