John Stones akan menikmati faedah jangka panjang bermain di beberapa posisi berbeza bersama Manchester City, kata Pep Guardiola.

Pemain antarabangsa England itu mengisi posisi pertahanan kanan ekoran ketiadaan Kyle Walker yang tercedera yang menyaksikan City membelasah Burnley 5-0 dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL), semalam.

Stones beberapa kali telah digunakan di bahagian tengah pada musim ini kerana Guardiola mahu menguji keupayaan pemain berusia 24 tahun itu di pelbagai posisi.

Pengurus City itu berharap Stones dapat berkembang dengan menawarkan perlindungan di seluruh jentera pertahanan dan tengah selain peranan semula jadinya sebagai pertahanan tengah.

"Dia tidak boleh bermain sebagai pemain sayap, penyerang tengah atau penyerang -- tidak mungkin," kata Guardiola kepada wartawan. "Saya fikir adalah bagus untuk pemain muda seperti John Stones belajar di pelbagai posisi yang berbeza.

"Langkah ini akan membantunya menjadi lebih bijak dengan lebih memahami permainan dan dia mempunyai lebih banyak peluang untuk bermain secara kerap kerana saya memerlukannya di kedudukan lain.

"Dia boleh bermain sebagai pertahanan tengah mahupun kiri atau kanan tetapi saya fikir dia mampu memegang peranan di bahagian tengah memandangkan kami hanya memiliki Fernandinho.

"Dia boleh beraksi di kedudukan yang berbeza dan itu bagus untuknya. Dia mempunyai kerjaya yang cerah di hadapannya."

Mengenai kecederaan Walker yang menimpanya semasa rehat antarabangsa, Guardiola menambah:
"Dia mengadu tidak berasa cukup sihat.

"Itulah yang dikatakannya kepada kami sebaik kembali melaporkan diri mengenai ketidakselesaannya serta tidak bersedia menentang Burnley. Dia hanya beraksi selama 10-15 minit di Sepanyol tetapi mereka memberitahu saya sepanjang tempoh itu, dia tidak berasa dalam keadaan begitu baik.

"Semoga dia dapat kembali untuk menghadapi Shakhtar Donetsk dalam aksi Liga Juara-Juara (UCL). Dia kembali daripada pasukan kebangsaan dengan mengadu masalah otot perut dan pangkal paha, jadi kami tidak ingin mengambil risiko," jelasnya.

City berada di kemuncak Liga Perdana, namun belum menunjukkan prestasi terbaik di pentas Eropah -- tersungkur di laman sendiri kepada Lyon serta memerlukan jaringan lewat daripada David Silva untuk membenam Hoffenheim.

Bagaimanapun, kejayaan membelasah Burnley hasil sentuhan pemusnah Sergio Aguero, Bernardo Silva, Fernandinho, Riyad Mahrez dan Leroy Sane, merupakan persiapan ideal menjelang aksi UCL esok.

"Aksi tanpa bolos penting tetapi yang paling penting adalah berapa banyak peluang yang kami cipta," kata Guardiola lagi.

"Contohnya perlawanan di Anfield. Pada hari ini (Ahad), kami tidak melepaskan gol di sebalik percubaan tepat, mereka mempunyai satu peluang terhidang tetapi selepas itu kami beraksi ampuh. Anda tidak boleh memenangi perlawanan sekiranya anda tidak ampuh.

"Kami mencipta 20 peluang dalam setiap permainan. Ia sesuatu yang agak baik yang menyaksikan kami memungut 100 mata dan ramai yang sukar mempercayai betapa mantapnya kami (musim lalu). Kami baru mengharungi sembilan perlawanan tetapi ini adalah cara kami teruskan perjuangan.

"UCL adalah saingan berbeza -- kami tercicir tiga mata. Setiap perlawanan umpama aksi final dan kami akan berdepan Donetsk seperti itu."