Leroy Sane akan meninggalkan Manchester City setelah Pep Guardiola mengesahkan pemain sayap Jerman itu menolak tawaran kontrak baru kelab itu.

Sane, 24, berulang kali dikaitkan dengan kepulangan ke Bundesliga dan kesepakatan dikatakan hampir dicapai dengan Bayern Munich Ogos lalu sebelum dia mengalami kecederaan ligamen dalam aksi Perisai Komuniti berdepan Liverpool.

Desas-desus perpindahan ke Allianz Arena terus bertahan sepanjang pemulihannya, walaupun City berusaha meyakinkan Sane untuk melanjutkan perjanjiannya, yang akan berakhir Jun 2021.

Pengurus, Guardiola, mengesahkan Sane telah menolak tawaran kelab itu dan akan meninggalkan Stadium Etihad, sama ada di jendela perpindahan seterusnya atau pada akhir perjanjiannya.

"Sane mengatakan dia tidak mahu melanjutkan kontraknya. Ini bererti dia ingin pergi dan itu akan berlaku musim panas ini atau pada akhir kontrak," kata Guardiola pada sidang media semalam."Kelab itu berbincang dengan saya beberapa kali, menawarkannya dua atau tiga kali untuk melanjutkan kontraknya, namun dia menolak kontraknya dan mahu bermain bersama kelab lain.

"Saya berasakan semua orang mengetahui Sane akan berhijrah."

Guardiola mengakui bahawa dia kecewa Sane tidak mahu kekal di City tetapi menegaskan dia tidak mempunyai niat buruk terhadap bekas bintang Schalke, yang akan disokong oleh kelab sehingga dia pergi.

"Sudah tentu saya kecewa. Ketika kami membuat tawaran kepada pemain, itu kerana kami menginginkannya," tambah Guardiola.