Guardiola puji rekod 21 kemenangan berturut-turut City

Oleh Muzaffar Musa 3 Mac 2021 755
Guardiola puji rekod 21 kemenangan berturut-turut City
Pep Guardiola memuji barisan pemain dalam pasukan Manchester City selepas melebarkan rekod kemenangan mereka kepada 21 perlawanan berturut-turut susulan menewaskan Wolves 4-1 dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) awal pagi tadi.

Gol sendiri Leander Dendocker meletakkan pendahulu liga, City, di depan tetapi Conor Coady menanduk masuk gol pertamanya dalam liga divisyen utama itu untuk Wolves mengikat kedudukan selepas sejam perlawanan di Stadium Etihad.

Gol pertahanan City, Aymeric Laporte, dibatalkan pengadil kerana berada di posisi ofsaid sebelum waktu rehat tetapi Gabriel Jesus kembali meletakkan pasukan tuan rumah itu di depan pada 10 minit terakhir.

Riyadh Mahrez menyumbat masuk gol ketiga pasukannya sebelum Jesus sekali lagi menemui sasaran pada penghujung permainan untuk City menyamai rekod 28 perlawanan tanpa kekalahan milik mereka dan berkelebihan 15 mata di depan pasukan jiran, Manchester United, di tangga kedua, menjelang aksi 'derby' hujung minggu ini.

Guardiola memuji pencapaian pasukannya tetapi menegaskan perebutan gelaran EPL musim ini masih belum berakhir.

"Rekod itu kita akan bincangkan pada masa akan datang. Dalam musim sejuk di England, ia seperti neraka dan sepanjang waktu itu, kami telah melakukan sesuatu yang luar biasa," kata Guardiola kepada Match of the Day.

"Ia lebih daripada luar biasa. Kesemua pemain mendapat pujian saya tetapi Liverpool masih juara bertahan. Untuk memenangi EPL, kami memerlukan mata ini," katanya.
 
Guardiola kagum dengan kegigihan yang dipamerkan pemainnya selepas Wolves memberikan respons terhadap permulaan perlahan mereka dengan mengambil pendekatan yang lebih positif dalam babak kedua.

"Kami sedikit cemas ketika terikat 1-1 tetapi kami memberikan reaksi dengan amat baik selepas menjaringkan gol-gol ini.

"Ia amat layak diterima -- kami bermain dengan amat baik. Perlawanan ini sengit dan pada minit-mint terakhir, kami menang dengan selesa.

"Selepas terikat 1-1, mereka lebih berbahaya tetapi kami terus mengawal bola dan tidak putus asa dan ia akan menjadi pengajaran berguna buat kami, sedikit perincian.

"Apabila anda melihat kepada prestasi, kami amat bagus. Saya dapat rasakan pagi ini bahawa kami amat bersatu dan bersedia untuk melakukannya sekali lagi.

"Kalendar agak singkat musim ini. Kami tidak memiliki minggu yang panjang -- terdapat terlalu banyak perlawanan dan perlu menentang Wolves dengan keupayaan fizikal dan mental mereka; saya lebih daripada gembira dengan apa yang telah kami lakukan setakat ini dan kami boleh menikmatinya malam ini, berehat dan bersedia untuk perlawanan seterusnya," katanya lagi.

Tentang Penulis

Muzaffar Musa

Komen