Pep Guardiola tidak bimbang dengan pergelutan Gabriel Jesus di depan gol dengan menegaskan khidmat pemain kebangsaan Brazil itu amat penting kepada The Citizens.

Jaringan minit akhir Jesus ke atas Southampton musim lalu memastikan City mengumpul 100 mata -- pemain berusia 21 tahun itu meledak 13 gol dalam 29 penampilan.

Tetapi sejak permulaan musim 2018-19, Jesus dihimpit kritikan apabila meledak hanya satu gol -- ketika mengatasi Huddersfield Town 6-1, Ogos lalu.

Guardiola, yang menggunakan Jesus sebagai pemain gantian dalam tujuh perlawanan, bagaimanapun tidak bimbang dengan kemarau jaringan pemain itu, sebaliknya memuji persembahannya ketika membantu pasukan mengatasi Fulham 2-0 dalam saingan Piala EFL.

"Benar, dia memerlukan jaringan, itulah tujuan seorang penyerang, tetapi dia telah menampilkan persembahan yang berkualiti," kata Guardiola.

"Banyak pergerakan tanpa bola dan ramai yang tidak menyedari bantuan yang dipamerkan oleh Jesus.

"Dia seorang pemain yang berusaha untuk pasukan dan masih muda. Dia memiliki ruang untuk memperbaiki permainannya.

"Kami akan berusaha untuk membantunya dengan corak permainan yang ditampilkan musim ini."

Ketika City meneruskan rentak cemerlang, juara bertahan itu juga ampuh ketika bertahan selepas bolos hanya tiga kali dalam 10 perlawanan.

Guardiola, yang meraih lima perlawanan tanpa bolos dalam semua kejohanan, menegaskan persembahan cemerlang barisan pertahanan merupakan tunjang kariernya sebagai pengurus pasukan.

"Saya tidak mahu menjadi bongkak tetapi bersama Barcelona dan Bayern Munich, kami sentiasa menjadi pasukan yang kurang dibolosi.

"Saya sentiasa mengutamakan permainan bertahan. Sukar untuk menjaringkan gol jika bolos banyak, ia berlaku apabila anda tidak memiliki pasukan yang seimbang."