Nathan Redmond mengesahkan dakwaan Pep Guardiola bahawa dia hanya memuji bakat pemain terbabit selepas kedua-dua pihak bertikam lidah sejurus pertemuan Manchester City dengan Southampton berakhir, semalam.

City menjaringkan gol kemenangan 2-1 dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium Etihad itu menerusi sentuhan menakjubkan Raheem Sterling, namun perhatian tertumpu kepada insiden selepas perlawanan itu.

Guardiola berbalah dengan Redmond apabila dilihat bertindak agresif terhadap pemain sayap itu sebelum menjelaskan dia sekadar menunjukkan kekagumannya kepada pemain The Saints itu.

Malah, laporan semalam memetik bahawa Guardiola sebenarnya menghamburkan kata-kata kesat sehingga mendorong Redmond untuk tampil menafikan perkara itu.

Menurutnya dalam Twitter: "Saya baru saja terbaca cerita ini dan berasakan saya harus menjelaskan sesuatu dan menjernihkan beberapa perkara.

"Saya mahu ia benar-benar jelas bahawa apa yang dikatakan oleh pengurus City, Pep Guardiola, tidak seperti yang dilaporkan The Sun.

"Ya, dia sangat bersemangat, sengit dan agresif, namun dia hanya memuji dan bersikap positif terhadap saya.

"Dia mengatakan saya adalah pemain muda Inggeris yang berbakat dan dia mahu saya menyerang pasukannya lebih kerap seperti dalam pertemuan musim lalu.

"Saya memberitahunya, saya hanya melakukan apa yang diminta pengurus saya.

"Tiada apa-apa yang negatif atau menyakitkan hati daripada Pep, sebab itulah dia adalah salah seorang pengurus terbaik dalam bola sepak dunia.

"Tewas pada saat-saat akhir permainan selepas bekerja keras lebih 90 minit adalah mengecewakan, namun ketika salah satu pengurus terbaik di dunia memuji atau memberi nasihat dengan cara apa pun, anda dengar," katanya.