Pengendali Manchester City, Pep Guardiola, memuji persembahan memukau yang dipamerkan Fernandinho selepas pemain tengah itu menyumbat gol hebat ketika membantu pasukannya menang 5-0 ke atas Burnley, sekali gus kembali naik ke puncak liga, malam tadi.

City tampak mudah untuk mengesahkan kemenangan di Etihad setelah meraih gol menerusi Sergio Aguero dan Bernardo Silva sebelum sepakan deras Fernandinho memastikan tiga mata buat juara bertahan itu.

Riyad Mahrez dan Leroy Sane turut meletakkan diri dalam senarai penjaring sambil kemenangan City disuntik dengan kehadiran semula Kevin De Bruyne selepas berehat dua bulan.

Namun, ternyata kelibat Fernandinho dan John Stones, benteng England yang mengisi bahagian kanan, mencuri perhatian Guardiola.

"Semua pemain mempamerkan aksi hebat, termasuk Stones yang mengisi kekosongan Kyle Walker dan Danilo, walaupun ia bukan posisi semulajadi untuknya," kata Guardiola.

"Dia melakukannya dengan baik, Fernandinho menunjukkan persembahan mantap secara keseluruhan, terutama dalam babak kedua, segalanya bagus.

"Fernandinho sangat penting untuk kami. Semalam, dia bijak mencari ruang dan masa buat penyerang, pemain sayap serta barisan depan. Lenggok badannya setiap kali menerima bola menunjukkan dia bersedia untuk beraksi.

"Jadi, dia sangat memukau. Ia adalah salah satu persembahan terbaik musim ini dan kami berbesar hati kerana Fernandinho salah seorang pemain utama City."

Sementara itu, Mahrez bangkit selepas gagal menyempurnakan sepakan penalti ketika seri 0-0 berdepan Liverpool dengan jaringan dari jarak 25 ela.

"Mahrez bermain dgn baik di Anfield, sebab itu saya turunkannya," tambah Guardiola.

"Aksi di sini tidak mudah tetapi dia beraksi dengan penuh personaliti. Apa sahaja boleh berlaku dalam bola sepak. Hanya penendang sebenar boleh terlepas penalti.

"Dia menyumbat gol hebat dengan pendekatan agresif bersama bola. Pergerakannya bersama bola, terutama dalam babak kedua, dengan Phil Foden sangat bagus. Bernardo bergerak lebih baik di posisi itu dalam separuh masa kedua.

"Kami tahu Mahrez pemain yang berbakat, suka bermain dengan bola dan tidak akan melepaskannya. Dalam kotak penalti, dia sangat bahaya kerana mampu menyumbat jaringan dari kiri atau kanan. Kehadirannya dalam pasukan sesuatu yang baik untuk City."

City bakal berdepan Shaktar Donetsk dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah, Selasa depan dan Guardiola menjelaskan De Bruyne benar-benar sudah bersedia untuk beraksi.

"Dia tidak mengalami kesakitan. Secara fizikal, dia adalah pemain yang kuat, memerlukan tempoh permainan dan ini kali pertama dia bermain selama 30 minit. Ini sangat penting," kata bekas pengendali Barcelona itu.

"Kami mempunyai banyak perlawanan tetapi sudah tentu dia bukan pemain baru seperti Mahrez. Sudah tiga tahun dia di sini dan dia tahu apa perlu dilakukan.

"De Bruyne adalah seorang lagi tonggak penting dan dia akan membantu kami mencapai sasaran pasukan, sebab utama dia mahu bermain dengan baik."