Guardiola pilih Mahrez, Jesus tidak gembira

Oleh Penulis Jemputan 9 Oktober 2018 823
Guardiola pilih Mahrez, Jesus tidak gembira
Penyerang Manchester City, Gabriel Jesus, berkata dia tidak gembira dengan keputusan Pep Guardiola yang tidak membenarkannya mengambil tugasan sepakan penalti ketika berdepan Liverpool, kelmarin.

Pengurus City, Guardiola, menyekat Jesus daripada menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-86 dan memberi ruang buat pemain termahal kelab, Riyad Mahrez, tetapi rembatan kaki kirinya sekadar melewati palang gol sehingga menyebabkan keputusan 0-0 kekal sehingga tamat.

Guardiola meminta maaf kepada Jesus sejurus tamat perlawanan dan pemain berusia 21 tahun itu menegaskan dia sangat yakin untuk menyempurnakan tendangan tersebut.

"Sudah tentu saya tidak gembira. Sama seperti Mahrez, saya juga telah berlatih," kata Jesus.

"Saya mahu menyempurnakannya. Saya yakin, jadi saya rasa tidak gembira apabila tidak dibenarkan. Namun, apa yang penting adalah kami tidak tewas. Guardiola telah menemui saya.

"Ini adalah sebahagian daripada bola sepak, kadangkala perkara sebegini berlaku. Saya akan menyokong Mahrez jika pengurus memilihnya sekali lagi."

Selepas tamat saingan Piala Dunia, Jesus tampak bergelut dengan prestasi apabila hanya menyumbat satu gol dalam saingan liga musim ini, iaitu sewaktu berdepan Huddersfield Town, Ogos lalu.
 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen