John Stones mungkin akan digunakan selaku pemain tengah buat Manchester City musim ini, kata pengurus pasukan, Pep Guardiola.

Pemain England berusia 24 tahun itu membantu City memenangi kejuaraan Liga Perdana Inggeris musim lalu selepas berhijrah daripada Everton pada 2016 selaku seorang bek tengah.

Namun, Stones dilihat lebih banyak berada di bahagian tengah sebaik sahaja Vincent Kompany dimasukkan selaku pemain gantian di penghujung perlawanan Perisai Komuniti, yang menyaksikan City menewaskan Chelsea 2-0, kelmarin.

Bagi Guardiola, persembahan yang dipamerkan Stones jelas merupakan satu permainan yang mampu dibanggakan oleh bekas pemain Barnsley itu.

"Stones melalui kempen Piala Dunia yang cemerlang dan dia membuktikan personalitinya sekali lagi," kata Guardiola.

"Saya gembira untuk melihatnya dalam 10 atau 15 minit terakhir selaku pemain tengah bertahan. Stones mungkin mampu beraksi di situ.

"Kami akan melihatnya pada masa depan. Terdapat banyak perlawanan dalam Liga Perdana Inggeris dan semua pemain akan terlibat.

"Stones juga perlu beraksi di tahap terbaik jika mahu bermain sebagai bek tengah kerana Kompany dan Nicolas Otamendi juga beraksi di posisi sama. Mereka harus tampil cemerlang. Dalam saingan peringkat tertinggi, apabila beraksi dalam semua kejohanan, anda memerlukan saingan sebegini."

City akan memulakan kempen untuk mempertahankan kejuaraan liga musim ini apabila turun menentang Arsenal, hujung minggu ini.